Tarik balik hasrat letak jawatan Presiden KFA

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik hasratnya untuk meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah menyedari kepentingan peranan Menteri Besar dalam pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

“Saya tarik balik surat letak jawatan…(Menteri Besar) ada fungsi yang sangat besar dalam sukan bola sepak di Kedah ini untuk diberi perhatian serius,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Katanya, keputusan itu juga dibuat memandangkan sukan bola sepak negara akan menghadapi senario baharu pada musim akan datang apabila berlakunya pemisahan antara persatuan (FA) dan kelab (FC).

Baru-baru ini, KFA memilih nama Darulaman FC (DFC) bagi pasukan Kedah selaras dengan proses penswastaan pasukan tersebut.

“Ada orang cakap pada sesi depan FA tak ada dah.., (tetapi sebenarnya) masih ada lagi FA. Pihak saya melalui Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) sudah bersetuju untuk membeli 80 peratus saham dalam Darulaman FC, manakala 20 peratus lagi akan dimiliki oleh KFA.
 
“MBI kini sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menubuhkan konsortium dan 80 peratus itu akan dikongsi dalam kalangan (peserta) konsortium itu,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada 1 Oktober lalu, menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden KFA dan akan menyerahkan urusan pengendalian bola sepak kepada pihak yang lebih layak untuk memajukan sukan itu di negeri ini.

Surat peletakan jawatan yang menyatakan bahawa beliau akan menamatkan perkhidmatan pada 15 Oktober lalu, bagaimanapun ditolak oleh KFA.

Dalam pada itu, mengenai pemilihan logo baharu KFA, Muhammad Sanusi berkata ia akan dibuat secara pertandingan terbuka dan orang ramai terutamanya peminat bola sepak Kedah dialu-alukan untuk menyertainya.

“Untuk maklumat lanjut boleh rujuk kepada laman Facebook rasmi KFA. Pelbagai hadiah menarik ditawarkan termasuk wang tunai RM5,000 untuk pemenang utama,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -