Adun, Jabatan Penerangan hebah bahaya Covid

PASIR MAS: Pusat Khidmat Dun Tendong dan Jabatan Penerangan Pasir Mas bergabung tenaga memberi penerangan kepada orang ramai mengenai amalan normal baharu berikutan penularan wabak Covid-19 sekarang.

Program ‘information on wheels‘ (IOW) berkenaan diadakan di Mukim Bunut Susu dekat sini semalam.

Advertisement

Adun Tendong Rozi Mohamad berkata, program terbabit diadakan berikutan penularan Covid-19 yang melanda negara kini memasuki gelombang ketiga yang amat membimbangkan.

Katanya, orang ramai perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya penularan wabak itu dapat dikawal.

“Apa lagi wabak berkenaan sehingga sekarang belum ditemui vaksin atau penawarnya.

“Oleh itu setiap anggota masyarakat perlu melakukan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya pada program berkenaan.

Turut hadir Pegawai Jabatan Penerangan Pasir Mas, Noriham Ahmad. – HARAKAHDAILY 19/10/2020