MDPP sedia bantu bekas peniaga pasar lama

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sedia menimbang permohonan bekas-bekas peniaga Pasar Lama Pasir Puteh bagi mendapat ruang perniagaan sementara.

Yang Dipertua MDPP, Ab Pattah Hasbullah berkata, pihaknya bersedia berunding dengan wakil kumpulan peniaga terbabit.

- Advertisement -

Katanya, wakil peniaga perlu menemui Setiausaha MDPP bagi membincangkan pelbagai keperluan termasuk pengurusan lesen berniaga.

“Kita tidak akan membiarkan peniaga terbabit hilang punca pendapatan namun perbincangan di antara kedua-dua belah pihak adalah teras penting dalam menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Hari ini sebahagian bekas peniaga Pasar Besar Pasir Puteh berhimpun secara aman berhampiran tapak pasar yang diroboh bagi menuntut MDPP menyediakan ruang perniagaan sementara.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh Kelantan Kamar Zaman Che Ngah berkata, peniaga kecil terbabit hilang sumber pendapatan selepas pasar lama dirobohkan.

“Kami tiada kuasa menghalang kerja-kerja meroboh dilakukan setelah gagal mendapatkan injuksi pada 14 Oktober lepas,” katanya ketika ditemui pada himpunan tersebut.

Pada 2017 MDPP mengarahkan peniaga di pasar lama berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral yang dibina di bandar baru tersebut.

Malah pada peringkat awal MDPP membenarkan peniaga membesarkan petak perniagaan di pasar tersebut bagi keselesaan mereka.

Sementara itu peniaga Pasar Siti Hajar berkata, peniagaan di pasar tersebut semakin meriah sekarang selepas pasar lama diroboh pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -