DPP Selangor sedia bantu penduduk terjejas bekalan air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor bersama Jabatan Amal Negeri itu bersiap sedia membantu rakyat yang terkesan semasa tempoh pemberhentian 4 operasi Loji rawatan Air (LRA) yang menyebabkan gangguan air berjadual di beberapa daerah negeri terbabit.

Menurut ketuanya, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata pencemaran air mentah pada kali ini telah melibatkan lebih 1.1 juta pemegang akaun meter Air Selangor.

- Advertisement -

Katanya, isu pencemaran air mentah Selangor berulang seolah-olah tiada kesudahan dan rakyat terpaksa menanggungnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan tindakan yang tegas terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran ini berlaku perlu dan wajib dikenakan.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini merupakan pengkhianatan kepada negeri dan rakyat negeri Selangor.

“Jangan lagi berkompromi dengan mereka yang berkepentingan dalam isu ini, rakyat perlu diutamakan,” kata Ustaz Hanafi pada satu kenyataan di sini, hari ini.

Ustaz Hanafi turut mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Air Selangor yang sentiasa berkhidmat untuk memastikan pengesanan, pemulihan dengan pelbagai kaedah untuk memastikan air mentah yang sampai kepada rakyat Selangor adalah nyah pencemaran dan bersih.

Dalam pada itu, dia meminta Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor, sentiasa berada dalam siap siaga untuk memberi khidmat kepada kawasan-kawasan yang terlibat.

“Insya Allah semoga Allah berkati usaha kalian semua. Pastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi sepanjang tempoh anggota berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan lebih sejuta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2.00 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -