Pemimpin adalah cerminan rakyatnya

- Advertisement -

PEMIMPIN yang zalim atau jahat, datang dari rakyat yang jahat (sebahagian atau ramai yang jahat walaupun ada yang baik).

Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili di dalam kitabnya Perisai Bagi Sekalian Mukallaf yang merupakan syarahan kepada Kitab Aqidah Thohawiyyah menyebut (wow! ada topik kepimpinan dan politik dalam kitab aqidah?);

- Advertisement -

“Maka bahawasanya Allah Taala tiada mengeraskan Ia akan mereka itu (pemimpin) atas kita (rakyat) melainkan kerana kejahatan kita. Dan balasan itu semacam dengan pekerjaan. Maka wajib atas kita bersungguh-sungguh dengan minta ampun dan taubat dan membaikkan amal ibadat, kerana firman Allah Taala:

(وَمَاۤ أَصَـٰبَكُم مِّن مُّصِیبَةࣲ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِیكُمۡ وَیَعۡفُوا۟ عَن كَثِیرࣲ)

“Dan barang yang mengenai akan kamu dari bala’, maka dengan sebab barang yang mengusaha akan dia oleh kamu. Dan memaafkan ia dari yang banyak.”

[Ash-Syura: 30] 

Dan firmanNya: 

(وَكَذَ ٰ⁠لِكَ نُوَلِّی بَعۡضَ ٱلظَّـٰلِمِینَ بَعۡضَۢا بِمَا كَانُوا۟ یَكۡسِبُونَ)

“Seperti itu memperintahkan oleh Kami (menjadikan pemimpin) setengah daripada sekalian yang zalim akan setengah (rakyat atau orang bawahan) dengan sebab barang yang ada mereka itu (rakyat) mengusahakan akan dia (apa yang mereka usahakan).”

[Al-An’am: 129]

{Rujuk Kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf cetakan jawi muka surat 117}

Begitulah juga di dalam kitab 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman susunan Sheikh Ahmad Fahmi bin Zamzam, hadis bilangan ke-36 bertajuk; ‘5 Maksiat Yang Disegerakan Balasannya’, Hadis Riwayat Ibnu Majah daripada Ibnu Umar. Antara pengajaran berkaitan pemimpin dari Hadis Rasulullah S.A.W itu ialah:

(1) Jika berleluasa penipuan dalam urusniaga maka Allah akan uji dengan kemarau, krisis ekonomi dan pemimpin yang zalim.

(2) Musuh akan merampas sebahagian dari milik kaum Muslimin apabila mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah dan Rasul.

(3) Akan berlaku perang atau bencana sesama kaum Muslimin apabila mereka mengabaikan hukum Allah di dalam Al-Quran dan tidak menjadikan Al-Quran sebagai pilihan mereka 

{Rujuk Kitab 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman cetakan rumi muka surat 78-80}

Sebab itu jangan keterlaluan gembira dengan penguasaan politik jika tidak berlakunya keseimbangan kuasa itu dengan kesedaran Islam di kalangan rakyat. Dibimbangi kemenangan itu akan menjadi beban. Sebab itu usaha dakwah dan tarbiyah mesti diganda dan dirancakkan seiring gerak kerja politik. Rakyat yang terlalu jauh dan jahil Islam dibimbangi menjadi ancaman dan fitnah ke atas kemenangan Islam itu sendiri. Oleh itu, rapatkan jurang antara keduanya. Kerja kita sesungguhnya sangat banyak… Jangan leka.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -