Bersama mempertahan kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak ada cara lain lagi untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional melainkan PAS, Umno dan PPBM perlu bersatu, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Ujarnya, perpaduan di antara parti-parti Melayu merupakan kunci kejayaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) nanti.

- Advertisement -

Pada masa yang sama, katanya ketiga-tiga parti berkenaan perlu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Jadikan pengalaman PRU14 sebagai iktibar apabila kuasa politik Islam-Melayu hilang, rakyat disajikan dengan pemerintahan yang haru-biru sepanjang 22 bulan.

“Sesungguhnya perpecahan menatijahkan kelemahan. Kelemahan membawa rebah.

“Itulah strategi lawan yang tidak lelah memikirkan bagaimana hendak memecah dan melemahkan kesatuan parti-parti Melayu ini,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Ahmad Fakhruddin mengajak seluruh pemimpin parti politik Melayu usah sesekali mengulangi kesilapan lalu.

Sekiranya berulang kembali, katanya pertelingkahan lepas tidak mustahil akan tewas dan kuasa politik Islam-Melayu kian terpinggir.

“Untuk apa menyesal pada ketika itu, sekiranya semua sudah hilang. Bak kata pepatah, ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -