Junjung Kasih: YDPA membawa kestabilan negara

PAS merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih ke hadapan KDYMM Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan langkah berhikmah Baginda menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara.

PAS yakin Baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budibicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan (constitutional monarchy).

Advertisement

Justeru PAS menyeru parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk Kerajaan Baginda (His Majesty’s Government) yang kini dipimpin oleh YAB. Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia, diberikan sokongan padu tanpa diganggu gugat bagi membolehkan Kerajaan ini befungsi dengan baik dan efektif.

Jemaah Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti BN, PN, GPS, PAS dan GRS mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat, terutama di era sukar di mana semua pihak berusaha bertungkus-lumus bagi menangani penularan semula pandemik Covid-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas.

Terima kasih.
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS – HARAKAHDAILY 15/10/2020