Kelantan baik pulih tebing Sungai Golok

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi projek baik pulih runtuhan tanah berdekatan tebing Sungai Golok dekat Rantau Panjang, Pasir Mas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata projek itu adalah untuk pembinaan longkang dan baik pulih kesan hakisan di kawasan terjejas termasuk rizab sungai.

Beliau berkata projek itu melibatkan pembinaan longkang di kawasan sepanjang 18 meter ke arah Sungai Golok.

- Advertisement -

“Projek akan dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Negeri dengan Jabatan Parit dan Saliran (JPS).

Hasil tinjauan yang dilakukan semalam mendapati terdapat sebuah rumah penduduk dekat pangkalan Syed Agil, Rantau Panjang yang telah roboh.
 
“Dua lagi rumah berdekatan didapati turut berisiko sekiranya aliran air di dalam longkang banyak serta hujan lebat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Azami projek berkenaan diluluskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hasil pertemuan yang diadakan, hari ini.

Katanya projek pembaikpulihan itu akan dilaksanakan secepat yang mungkin kerana musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.

“Kami berharap penduduk yang tinggal di tepi Sungai Golok berhati-hati dan segera berpindah ke kawasan lain kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Semalam sekumpulan penduduk berdekatan pangkalan Syed Agil dekat Rantau Panjang, Pasir Mas melahirkan kerisauan berikutan berlaku runtuhan tanah di tebing Sungai Golok yang mengancam rumah mereka.

Mereka mendakwa runtuhan itu berlaku kerana pembinaan longkang besar di situ yang dipercayai tidak menepati piawaian sehingga berlaku hakisan dan runtuhan tanah. – BERNAMA

- Advertisement -