Armenia dakwa Turki bertindak provokatif

- Advertisement -

YEREVAN, Armenia: Kementerian Luar Armenia pada Ahad mendakwa tindakan provokatif Turki boleh menggugat kestabilan di rantau itu, lapor Agensi Berita Sputnik.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnnya tindakan provokatif Turki di wilayah kami dan hargai kerjasama semua pihak yang mahu kestabilan di rantau itu berkekalan,” memetik kenyataan kementerian luar.

Menurut Yerevan, Turki menjadi penggerak utama di sebalik pencerobohan Azerbaijan di Nagorno-Karabakh.

- Advertisement -

“Jelas Turki berada di belakang pencerobohan tentera Azerbaijan terhadap Artsakh (Nagorno-Karabakh), tidak berputus asa untuk terus mengganggu-gugat keadaan dan menggagalkan perjanjian yang dicapai,” kata Kementerian Luar Armenia. 

Pihak Armenia turut mendakwa Ankara membekalkan tentera Azerbaijan dengan pengganas asing dari Timur Tengah.

“Turki menaja kempen maklumat dan politik Azerbaijan bertujuan menggagalkan perjanjian  yang dicapai di peringkat Menteri Luar Armenia, Azerbaijan dan Rusia pada 10 Oktober 2020, atas inisiatif Presiden Vladimir Putin,” kata kenyataan itu.

Agensi Berita Azerbaijan (AZERTAC) melaporkan Kementerian Pertahanan Turki pada Ahad berkata “perlu ada suara daripada masyarakat antarabangsa untuk menentang Armenia,” mendakwa tentera Armenia menyerang penempatan orang awam dan melanggar gencatan senjata sementara dengan Azerbaijan.

Serangan Armenia berterusan walaupun gencatan senjata disepakati, antara lain untuk pertukaran tahanan dan mayat mereka yang terkorban di Nagorno-Karabakh, berkuat kuasa 12 tengah malam waktu tempatan (0800GMT) pada Sabtu.

Gencatan senjata itu berlaku selepas mesyuarat tiga hala di Moscow pada Jumaat antara menteri luar Rusia, Azerbaijan dan Armenia. – BERNAMA

- Advertisement -