Tragedi Oktober

- Advertisement -

MENANTI debaran tanggal 13 Oktober apakah akan terjadi perubahan dalam catatan sejarah politik tanah air?

Negara dikejutkan apabila Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman bahawa beliau mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan serentak dengan itu beliau juga mengisytiharkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang.

- Advertisement -

Beberapa hari yang lalu Anwar telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa beliau akan mengadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pada 13 Oktober 2020.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kalau tidak ada angin masakan pohon bergoyang. Inilah antara barisan ungkapan yang menguatkan lagi dakwaan Anwar.

Ada dalam kalangan ahli politik yang mengatakan bahawa Anwar tidak akan buat kerja gila kalau dia tidak punya bilangan yang cukup.

Tetapi barang diingat bahawa dalam politik tidak ada satu formula yang bersifat tetap dan konsisten seperti formula matematik. Dari dahulu, kini dan selamanya Teorem Phytagoras tidak akan berubah.

Dalam politik semua bisa berlaku, kawan jadi musuh dan musuh jadi kawan. Sebab itu di dalam Islam kita dilarang bersikap melampau sama ada dalam berkasih sayang atau di saat bertengkar.

Apa yang menarik perhatian bahawa Anwar tidak pernah memberikan indikasi tentang berapa jumlah Ahli Parlimen yang siap sedia menempuh gelombang bersama beliau, mungkin juga menunggu tanggal 13 Oktober untuk dipersembah kepada YDPA.

Antara berita lucu yang bermain di media sosial adalah tentang dua Ahli Parlimen PAS yang dikatakan akan bersama Anwar serta poster kabinet bayangan Anwar yang merangkumi beberapa pemimpin tertinggi PAS. Ada dalam kalangan ahli politik yang telah membuat laporan polis bagi menafikan mereka terlibat dengan senario lompat-melompat ini.

Menurut saya, sentimen kerajaan tanpa DAP dan perjuangan mempertahankan Agama Bangsa dan Tanah Air (ABATA) telah mengambil tempat di hati majoriti rakyat Malaysia. Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah adalah buktinya.

Apakah Anwar benar-benar akan dapat menubuhkan kerajaan tanpa DAP dan meletakkan ABATA sebagai teras kepada kerajaan yang bakal dibentuk, sama-sama kita tunggu esok.

Setakat hari ini DAP mengambil sikap mendiamkan diri daripada kegawatan politik seperti seekor buaya di air yang tenang. Cuma pesan orang tua-tua, jangan sangka di air yang tenang tiada buaya.

Apakah langkah Oktober ini setelah gagalnya ‘Langkah Kajang’ dan ‘Langkah Port Dickson’ bertujuan untuk political survival buat beberapa tokoh politik bagi menyelamatkan diri daripada kes-kes dan tuduhan penyalahgunaan kuasa yang sekarang berada di mahkamah atau murni untuk menyelamatkan negara, sama-samalah kita tunggu.

Sesungguhnya rakyat Malaysia sangat dahagakan sebuah sistem pemerintahan yang bersih, amanah, berintegriti, adil dan saksama tanpa mengira batas kaum dan agama. Sebuah pemerintahan yang tidak memusatkan semua kuasa pada satu tangan, sebuah pemerintahan yang benar-benar memisahkan antara kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Majoriti rakyat dapat merasakan betapa selama 22 bulan negara ini di bawah kekuasaan Pakatan Harapan keharmonian antara kaum terusik dan keresahan dan kegusaran rakyat marhaen amat terasa.

Oleh itu sekiranya gelanggang politik dijadikan sebagai tempat untuk membersihkan diri, tunggulah PRU15 nanti.

Barang diingat, zaman ini zaman maklumat di hujung jari. Tahun 2020 bukan lagi tahun 80an atau 90an. Rakyat tidak perlu turun ke jalan, cukup dengan berdemo di media sosial sudah mampu untuk menumbangkan sebuah kerajaan.

Ahli politik harus peka dengan sensitiviti rakyat. Mereka tidak boleh lagi mementingkan diri sendiri berbanding menjaga kepentingan rakyat. Budaya lompat-melompat sudah tidak relevan di mata rakyat walaupun ianya memberikan kelebihan buat ahli politik itu sendiri dari segi mengekalkan kuasa.

Menjaga keutuhan Muafakat Nasional (MN) dan PN adalah keutamaan dalam arena politik Malaysia hari ini. Bagaimana politik yang berteraskan bangsa kembali bernafas apabila digabungkan dalam suatu muafakat yang berteraskan kepada Islam?

Mana-mana pihak yang cuba atau meninggalkan muafakat ini akan menongkah arus dan seperti menjaring gol ke gawang sendiri atau dalam istilah Indonesia gol bunuh diri.

Biarkanlah Anwar bersama impiannya dan tidak salah mempunyai impian dalam politik.

Bagi kita perkuat dan perkukuhkanlah muafakat dan kesepakatan yang telah kita bina bersama di atas tapak akidah Islam dan titisan air mata di PWTC.

Musuh-musuh Islam akan terus melakukan provokasi dan propaganda terhadap penyatuan ini. Kerana sekiranya kita lemah dan berpecah mereka akan kuasai kita.

Bersama-samalah kita berjuang untuk mempertahankan dan mengembalikan martabat Islam dan ABATA.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Islam Memimpin Perpaduan

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
YDP PAS Tangga Batu – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -