Hapus pemberian kuota benih padi

- Advertisement -

KANGAR: Syarikat pengeluar benih padi menerima subsidi bernilai puluhan juta, namun peliknya bekalan benih padi masih lagi tidak mencukupi di pasaran sehingga menjejas penanaman padi.

Pengerusi Persatuan Kilang Beras Skim Pusat Belian Kedah-Perlis Marzukhi Othman mencadangkan kerajaan menghapuskan pemberian kuota benih padi kepada syarikat pengeluar.

- Advertisement -

Katanya subsidi boleh diberikan terus kepada petani melalui Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM450 bagi satu tan padi.

“Ini membolehkan petani membeli sendiri benih padi yang lebih berkualiti daripada mana-mana pengeluar seterusnya menghasilkan padi bermutu tinggi setiap tahun,” katanya di sini semalam.

Difahamkan kerajaan membekalkan kuota benih padi bersubsidi sebanyak 72,000 tan metrik setahun kepada sembilan syarikat sejak 2007.

Pada Jumaat lepas Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menyerah memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya susulan kelewatan mendapat benih padi di pasaran.

Sedangkan jadual menanam padi di Perlis dan Kedah bermula 9 September lalu di kawasan fasa 1, namun ramai pesawah tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih tiada di pasaran.

Masalah tersebut juga berlaku tahun lepas dan berulang semula tahun ini.

Marzukhi berkata, sudah tiba masanya kerajaan menghapuskan pemberian kuota benih padi subsidi kepada syarikat pengeluar. – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -