Pengasas Madrasah Zuhdiyah meninggal dunia

ALOR SETAR: Pengasas Madrasah Zuhdiyah Kampung Caruk Salang, Parit Panjang, Tuan Guru Rifae’ Yaakob, 59 meninggal dunia awal pagi tadi akibat komplikasi jantung.

Sebelum ini arwah dirawat di hospital kerana masalah jantung.

Allahyarham pernah berkhidmat selama 20 tahun di Pondok Lanai, Baling sebelum mengasaskan madrasahnya sendiri.

Advertisement

Semasa hayatnya, Tuan Guru Rifae’ dilantik menjadi Ahli Majlis Fatwa Kedah pada 2019.

Pesuruhjaya PAS Kedah Senator Ahmad Yahaya berkata, pemergian Tuan Guru Rifae’ umpama terpadam satu lagi bintang yang sekian lama menyinari serta memandu ummah.

“Arwah melaksanakan tugas sebagai pewaris para anbiya dengan istiqamah sehingga ke akhir hayat.

“PAS Kedah merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah. Mudah-mudahan Allah menempatkan rohnya bersama para anbiya, siddiqin, syuhada dan salihin,” ujarnya menahan sebak ketika dihubungi di sini.

Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zohor hari ini di Madrasah Zuhdiyah dan Masjid Tuan Guru Haji Omar Zuhdi, Baling. – HARAKAHDAILY 12/10/2020