Ustaz Kamarudin terima anugerah DMSM

- Advertisement -

AYER KEROH: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, 51, dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk sempena kelahiran ke -71 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka pagi tadi.

Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam telah berkenan mengurniakan darjah tersebut kepada Ustaz Kamarudin dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka yang berlangsung di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh.

- Advertisement -

Ustaz Kamarudin sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kerajaan Negeri Melaka daripada Pakatan Harapan (PH) awal tahun ini adalah antara lapan individu yang menerima darjah DMSM pada majlis itu.

Sambil mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan terima kasih kepada Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali atas penganugerahan itu, beliau menyifatkan anugerah ini adalah bukti lambang kesungguhan dan pengiktirafan kepada PAS Melaka dan perjuangan Islam.

“Saya mewakili ahli dan penyokong PAS Melaka mengucapkan terima kasih buat Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali yang berkenan mengurniakan DMSM sempena hari jadi beliau ke -71. Semoga beliau dipanjangkan umur, dipermudahkan segala urusan dalam mentadbir negeri Melaka dan penaung yang menjadi tempat rakyat bergantung harap dalam isu-isu agama Islam.

“Saya menganggap kurniaan ini sebagai satu penghormatan, bukan sahaja untuk saya dan ahli keluarga, tetapi juga anugerah dan pengiktirafan untuk PAS Negeri Melaka serta semua pimpinan PAS di semua peringkat.” ujarnya.

Tambah Ustaz Kamarudin lagi, ini suatu simbolik yang memperlihatkan bahawa PAS Melaka berjaya di persada politik di negeri ini dan diterima baik oleh pihak kerajaan atas semangat Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Setinggi penghargaan turut diucapkannya kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan yang memberi keizinan dan sokongan untuk beliau menerima darjah kebesaran DMSM ini.

Beliau turut diiringi isterinya Datin Ustazah Safina Hashim yang mana hasil perkahwinan mereka berdua selama ini telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu seorang putera dan tiga puteri.

Selain Ustazah Safina, Ustaz Kamarudin juga telah mendirikan rumahtangga kali kedua pada tahun 2016 bersama seorang doktor perubatan, Datin Dr Rina Salwani Mohd Tamin yang berasal dari Tangga Batu, Melaka.

Ustaz Kamarudin mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Datuk Haji Baginda, Umbai dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama (JAIM), Merlimau Melaka.

Beliau kemudiannya menuntut di Madrasah An-nuriah Sungai Udang selama tiga tahun setengah dan seterusnya ke Madrasah Al Bakriyah, Pasir Tumbuh Kelantan selama dua tahun.

Kemudian meneruskan pengajian di Madrasah Al Latiffiah, Kroh Perak selama dua tahun dan seterusnya ke Maahad As Somadiah, Yala Selatan Thailand selama dua tahun sebelum terbang ke Mesir pada akhir tahun 1994 untuk menuntut dalam jurusan Syariah Islamiah Universiti Al Azhar di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Ustaz Kamarudin telah diberi kepercayaan menjawat jawatan penting dalam PAS Melaka sejak awal pembabitan beliau dalam politik bermula dari tahun 2000 sebagai Ketua PAS Cawangan Bukit Tembakau hingga kini.

Selepas itu beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Jasin dari 2000 hingga 2008; Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Melaka dari 2007 hingga 2008; Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka selama tiga penggal; Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin dari 2012 hingga kini; dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka dari 2012 hingga 2015.

Ustaz Kamarudin dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka menggantikan Adly Zahari pada tahun 2015 selepas berlaku krisis dalaman PAS yang menyebabkan tertubuhnya PAN dan memegang jawatan itu sehingga kini.

Kepimpinan beliau juga terserlah dengan beliau menjadi salah seorang watak penting yang membangunkan Sekolah Maahad Ar Rahmah Melaka dalam tempoh yang singkat. – HARAKAHDAILY 11/10/2020

- Advertisement -