Bot asing bekal diesel di Laut China Selatan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Dua bot dipercayai milik rakyat Thailand disyaki menjadi pembekal minyak diesel kepada bot nelayan Vietnam yang beroperasi di Laut Cina Selatan.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten (M) Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mereka menyamar sebagai nelayan tempatan ketika bot APMM mendekati bot terbabit.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua bot itu bertindak agresif dan cuba melarikan diri ke perairan Vietnam.

- Advertisement -

“Dengan kecekapan anggota APMM yang diketuai Left Komander Maritim, Mohd Sopian Mohd Nasir berjaya memintas dan menahan kedua-dua bot berkenaan.

“Kejadian berlaku di sekitar 110 batu nautika daripada muara Tok Bali antara jam 11.20 dan 11.45 pagi semalam,” katanya kepada media di Ibu Pejabat APMM, Tok Bali di sini, hari ini.

Menurutnya dua bot terbabit mempunyai 15 krew termasuk seorang wanita, dua tekong dan seorang rakyat Indonesia masing-masing berumur 24 hingga 59 tahun.

Muhd Nur Syam juga berkata, bot terbabit mengandungi 230,000 liter diesel dan dua bot yang dianggar bernilai RM2.39 juta.

“APMM akan membuat siasatan lanjut dari mana bekalan diesel itu diperolehi sama ada subsidi kerajaan atau sebaliknya,” ujar beliau.

Bot nelayan asing tersebut sekarang ditahan Ibu Pejabat APMM, Tok Bali.

Menurutnya juga kes itu disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang boleh didenda tidak kurang RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali setiap krew, jika sabit kesalahan. – HARAKAHDAILY 8/10/2020

- Advertisement -