Semangat tolak ansur, memahami PN dan MN

- Advertisement -

HAMPIR seminggu ulasan-ulasan demi ulasan dibuat oleh beberapa orang individu bukan-Muslim dan tak terkecuali yang Muslim juga yang menyuarakan bantahan kalau-kalau PAS dibawa masuk dalam Kabinet Sabah. PAS tak sesuai di Sabah. Sabah tak sesuai untuk PAS. Masyarakat majmuk Sabah tidak boleh menerima pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS dan macam-macam lagi andaian dangkal yang disuarakan. 

Statement-statement itu saya lihat berpunca daripada kejahilan mereka mengenai PAS dan Islam atau berpunca daripada rasa takut mereka dengan kahadiran PAS di negeri bawah bayu itu.

Tiba-tiba hari ini meletup berita pelantikan YB Dr Aliakbar Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan). Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan PN Sabah yang melihat kepentingan mengukuhkan kerajaan dan kepentingan rakyat Sabah lebih afdhal daripada melayan suara-suara sakit hati penyokong dan pendukung PH. Tahniah juga kepada Dr Aliakbar dan PAS Sabah yang julung-julung kali dapat berada dalam Kabinet Kerajaan Sabah.

- Advertisement -

Kalau semangat bertolak ansur dan saling memahami di kalangan PN, BN dan MN ini dapat dijaga dengan baik saya percaya Kerajaan Pusat dan Negeri dapat dimenangi semuanya oleh PN dan MN. Kesediaan dan tolak ansur Umno menerima pelantikan YB Dato’ Hajiji sebagai Ketua Menteri (KM) Sabah juga bukan sebuah pengorbanan yang kecil dalam gelanggang politik hari ini. Semua pihak perlu melihat perjuangan menafikan kembalinya PH ke Putrajaya sebagai agenda utama. Selepas itu baru kita tumpukan kepada menguatkan parti masing-masing di samping meraikan kepentingan parti-parti lain. 

Pihak yang merasa curiga kepada kehadiran PAS dalam Kerajaan Sabah perlu melihat PAS dengan kaca mata sebenar bukan dengan kaca mata yang ditemui di tepi jalan. Apatah lagi dengan meminjam kaca mata PH dan DAP. Sejarah pemerintahan PAS selama 30 tahun lebih di Kelantan perlu dijadikan rujukan sebelum membuat apa-apa tuduhan terhadap PAS. Saya yakin rakyat Sabah dapat menerima PAS melalui penampilan pertama PAS di pentas pentadbiran Kerajaan Sabah.

Begitulah susun atur Allah. PAS yang dicemuh kerana atas sifat setia kawannya dalam MN dan PN sehingga sanggup tidak bertanding, tiba-tiba ada kerusi dalam DUN Sabah. Tapi ada parti yang dengan sombongnya  bertanding  namun tiada satu kerusi pun untuk mereka. Saya tidak berhasrat merendahkan mereka namun belajarlah dari sejarah kalaupun tidak mampu belajar dari Quran dan Sunnah. Takdir Allah tidak sama dengan hasrat dan kesombongan manusia.

USTAZ MOKHTAR SENIK 
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/10/2020 

- Advertisement -