Muafakat PN, MN bawa PAS ke Dun Sabah

KOTA BHARU: Pelantikan pemimpin PAS sebagai Adun dilantik di Dewan Undangan Negeri Sabah mencerminkan muafakat yang harmoni dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkembangan yang berlaku itu dianggap sebagai lembaran baharu PAS di Sabah.

Advertisement

Katanya, PAS bertapak di Sabah sejak lebih 35 tahun lalu kini diperkukuhkan lagi dengan penyertaan bersama PN dan MN.

“Ini membuktikan kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuhkan perpaduan, menyemarak pendidikan dan sebagainya di Sabah,” katanya di sini.

Hari ini Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan dilantik sebagai Adun Sabah.

Turut dilantik bekas Ketua Menteri Dato’ Yong Teck Lee, wakil Umno Suhaimi Nasir dan Raimie Unggi serta Jaffari Walliam dan Amisah Yassin dari Bersatu.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, wakil tunggal PAS di Dun Sabah diharap mampu memberi nilai tambah kepada kerajaan baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – HARAKAHDAILY 8/10/2020