Covid-19 : Hentikan pergolakan politik!

- Advertisement -

JUMLAH kes jangkitan Covid-19 sebanyak 691 kes yang dilaporkan pada 6 Oktober lepas sangatlah membimbangkan. Malaysia hari ini berada pada kedudukan ke-96 dunia dengan jumlah pesakit sebanyak 13,506 orang. Amerika Syarikat dan India berada pada kedudukan teratas dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 7.7 juta dan 6.7 juta orang yang dijangkiti virus ini.

Selain Indonesia dan Filipina kebanyakan negara-negara jiran Asean lainnya mencatatkan kadar jangkitan yang rendah dan berada pada urutan di atas 140 kedudukan dunia. Thailand berada pada kedudukan ke-140 dengan 3,600 kes, Vietnam yang berpenduduk seramai 90 juta orang merekodkan 1,098 kes pada kedudukan ke-165, Brunei mencatat 146 kes sementara Laos hanya 23 kes sahaja.

- Advertisement -

Mengapa penularan wabak Covid-19 di negara-negara Asean yang disenaraikan ini terkawal? Yang pastinya adalah kerana tidak berlakunya pergolakan politik atau political turbulance di negara-negara ini.

Kerajaan lebih fokus dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam sebuah negara yang mempunyai kestabilan politik yang baik. Tidak seperti di Malaysia.

Jumlah jangkitan yang secara tiba-tiba meledak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sudden surge yang berlaku di Kedah menjadikan orang-orang politik sebagai sasaran kemarahan rakyat.

Sikap tuding-menuding yang memang sudah menjadi tabiat majoriti rakyat Malaysia yang disemai melalui gelanggang politik mula mengambil tempat di media sosial (medsos). Apakah budaya ini dapat menyelesaikan masalah?

Tidak dinafikan kerakusan mengejar jawatan dan pengaruh politik telah menyumbang kepada second spike jangkitan Covid-19 di negara ini.

Tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana menanganinya dan bukan menuding jari. Apa yang berlaku sudah berlaku. Kita harus melihat dan maju ke hadapan. Oleh itu komitmen semua pihak termasuk orang-orang politik untuk bersama-sama berganding bahu membantu kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung virus ini daripada terus menular.

Sepatutnya semua parti politik harus menggembeling tenaga untuk turut berkempen membantu KKM dan Kerajaan Malaysia dalam usaha mencegah ianya daripada terus merebak secara pantas dalam bentuk janjang geometri.

Portal-portal rasmi parti dan media-media yang dimiliki haruslah dijuruskan secara optima untuk sama-sama membantu usaha pencegahan, mendisiplinkan ahli parti dan rakyat awam untuk patuh dan akur dengan arahan kerajaan dalam melaksanakan SOP kawalan. Jangan sampai ada yang menangguk di air yang keruh.

Menyerang Shafie Apdal dan Musa Aman bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik walaupun umum tahu politik perebutan kuasa antara mereka telah menyebabkan berlakunya PRN Sabah dan penularan mendadak Covid-19.

Menangguk di air yang keruh bukanlah suatu akhlak dan pekerti mulia, bahkan ianya adalah suatu pengkhianatan kepada keselamatan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Sikap pembangkang yang suka memanipulasi isu dan membangkitkan amarah rakyat harus dihentikan. ‘Kata dulang paku serpih’; ‘kokok berdegar-degar tapi ekor penuh tahi’; ‘kuali kata cerek hitam’, adalah antara ungkapan yang harus dicerna sebagai muhasabah diri oleh semua politikus. Mereka saling menyalahkan antara satu sama lain tetapi di sebaliknya mereka jugalah yang melakukan hal-hal yang sama serta melanggar SOP.

Ahli politik sama ada daripada pihak pemerintah ataupun pembangkang pada dasarnya harus menjadi contoh ikutan bagi rakyat. Merekalah yang sepatutnya menjadi orang pertama yang akur dan patuh SOP dan bukan sebaliknya.

Maka, fokus hari ini adalah bagaimana semua parti-parti politik harus bersama secara jujur menangani isu Covid-19 yang mengalami penularan mendadak dan melupakan persengketaan dan perbedaan fahaman politik dalam mengejar pangkat dan kedudukan.

Bukan masanya untuk berbicara soal siapa PM dan siapa khianati siapa. Tetapi inilah masanya semua tenaga dan usaha digembeling untuk menyelamatkan nyawa rakyat selain memulihkan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

Mana-mana pihak yang cuba mengambil sikap menegakkan benang basah dan mencari kesempatan meraih pengaruh dengan melakukan adu domba dan provokasi, nescaya akan dihukum oleh para pengundi-pengundi yang majoritinya tidak berparti.

Inilah saat yang tepat untuk kita sama-sama menjadikan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ yang diterjemahkan secara praktikal di saat negara dan rakyat menghadapi wabak dan penderitaan ekonomi kesan daripada Covid-19.

Semoga Allah melindungi kita dengan rahmat-Nya dan memelihara keharmonian dan kesejahteraan negara yang kita cintai ini.

Islam memperkukuh perpaduan

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -