Anwar ambil langkah ala kamikaze

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mendakwa dirinya mempunyai majoriti untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dilihat sebagai satu cubaan kamikaze, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nazir Helmi.

- Advertisement -

Menurut Nazir, tindakan Anwar yang seolah-olah cuba untuk meletakkan nyawa rakyat sebagai taruhan melalui kenyataannya, walaupun belum mendapat kepastian demi mengejar cita-citanya sebagai Perdana Menteri, adalah satu langkah yang jijik sekiranya benar.

Justeru itu, beliau mewakili DPPM, menyeru supaya DSAI menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai seorang yang lebih matang dan berpengalaman yang mahu melihat Malaysia terus berada dalam keadaan harmoni tanpa memikirkan tentang perut dan isi kepentingan peribadinya.

“Pemuda PAS menyeru supaya DSAI menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai ‘orang tua’ yang ingin melihat Malaysia terus berada dalam keadaan selamat tanpa memikirkan tentang perut dan isi kepentingan peribadinya dalam menjadi seorang Perdana Menteri.

“Lihatlah apa yang berlaku kepada Negeri Sabah, dan beberapa tempat lagi yang sudah terkesan. Bersimpatilah kepada rakyat yang sedang mahu membangunkan kehidupan mereka setelah melalui tempoh PKP yang cukup memeritkan,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.

Mengulas mengenai situasi semasa penularan Covid-19, kata Nazir, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memberi kesan besar kepada peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak.

Malah, dia mengakui punca jangkitan majoritinya berpunca daripada kehangatan PRN Sabah, kemudian dibawa masuk ke Semenanjung.

Dalam masa sama Nazir mempersoalkan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Panglima Shafie Apdal yang telah mencuba nasib untuk kekal menjadi Ketua Menteri walaupun setelah dibuktikan hilang kepercayaan majoriti ADUN di Sabah.

Hal ini, menurut Nazir, telah mengakibatkan kesan yang cukup besar kepada kadar jangkitan Covid-19 sedangkan jika beliau memilih untuk menyelamatkan negara, sudah pastinya beliau perlu rela menerima hakikat, dan kejadian buruk ini pasti dapat dielakkan.

Semalam, kes baharu positif Covid-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 691 kes dengan 688 kes daripadanya adalah kes tempatan.

Sekiranya diteliti, penularan semula wabak jangkitan itu begitu selari dengan PRN Sabah yang baru melabuhkan tirainya pada 26 September lalu. – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -