Usah kecam individu positif Covid

- Advertisement -

ALOR SETAR: Masyarakat diminta mengubah persepsi buruk dengan tidak mengecam individu yang disahkan positif Covid-19.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sesetengah pihak mengecam mereka yang terlibat seolah-olah melakukan kesalahan jenayah.

Katanya tiada siapa pun yang mahu dijangkiti virus terbabit.

- Advertisement -

“Tetapi apabila sudah terkena nak buat macam mana. Kena Covid bukan dosa besar atau buat kesalahan jenayah.

“Mereka yang positif bukannya seperti dijangkiti Aids yang berpunca dari seks songsang, cucuk jarum dadah yang salah di sisi agama dan undang-undang,” katanya selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya kebelakangan ini ada pihak melontar kritikan keterlaluan termasuk terhadap Menteri Hal Ehwal Agama Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Muhammad Sanusi juga menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak berperanan berikutan peningkatan kes positif Kluster Tembok.

Menurutnya sehingga sekarang Covid belum ada vaksin dan ia memerlukan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 7/10/2020

- Advertisement -