Mangsa culik Abu Sayyaf terbunuh di Sulu

- Advertisement -

LAHAD DATU: Seorang nelayan warga Indonesia dikenali sebagai Laa Baa yang diculik bersama empat yang lain oleh kumpulan Abu Sayyaf pada Januari lalu, di perairan Tambisan, Tungku, di sini, ditemukan terbunuh di Patikul, Sulu, Filipina, kelmarin.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman yang mengesahkan perkara itu berkata ia berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada rakan sejawat di Filipina.

“Betul (mangsa terbunuh), kejadian berlaku pada 28 September sewaktu misi menyelamat lima mangsa culik oleh Tentera Filipina.

- Advertisement -

“Ketika misi itu, berlaku pertempuran berbalas tembakan dengan kumpulan Abu Sayyaf dan mayat mangsa dijumpai semalam,” katanya kepada Bernama.

Pada Januari lalu, Laa Baa, 32, merupakan antara lima nelayan warga Indonesia yang dilaporkan diculik di perairan Tambisan, Tungku, Lahad Datu.

Mangsa culik lain dikenali sebagai Arsyad Dahlan, 41; Riswanto Hayano, 27; Edi Lawalopo 53 dan Syarizal Kastamiran, 29.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata empat lagi mangsa culik masih berada dalam tahanan kumpulan Abu Sayyaf. – BERNAMA

- Advertisement -