UMK bangun ‘Germplasm Durian’ di kampus Jeli

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

JELI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berhasrat menjadikan projek pembinaan Germplasm Durian di Ladang Agro Techno Park (ATP) sebagai pusat rujukan dan penyelidikan koleksi durian terbesar di Kelantan.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ts. Dr Noor Azizi Ismail berkata, projek itu dilaksanakan di UMK Kampus Jeli melibatkan penanaman benih 30 varieti durian di plot pembinaan Germplasm Durian di kawasan seluas lima ekar.

- Advertisement -

Katanya, projek berkenaan akan memberi manfaat bagi meningkatkan bilangan varieti durian pada masa akan datang.

“Pada masa yang sama akan menjadikan UMK sebagai pusat penyelidikan dan rujukan kepada agensi-agensi pertanian yang lain,” katanya pada majlis perasmian Germplasm Durian dan Secret Garden di Ladang ATP UMK Kampus Jeli semalam.

Perasmian disempurnakan anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Pada majlis itu Tuan Mohd Saripudin turut menyampaikan cek kepada dua penerima projek Lembah Baraqah iaitu Ketua Projek Tanaman Kelapa Tacunan UMK Bachok Dato’ Dr Beatrice Ming Baikan berjumlah RM20,000.

Manakala Pengarah Penyelidikan Jaminan Makanan Dan Pertanian Lestari UMK, Ts. Dr Maryana Mohamad Nor dan Mohd Mahmud menerima peruntukan berjumlah RM30,000 bagi projek Akuaponik OKU Jeli.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Universiti Dr Wan Farisan Wan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ts Dr Arham Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ts Dr Zaliman Sauli. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -