Karnival Jalinan Jiran Mesra, 10 Oktober ini

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Karnival Jalinan Jiran Mesra buat julung kalinya dianjurkan sebagai satu aktiviti kemasyarakatan dan perpaduan yang bakal dilangsungkan di Balai Raya Kampung Selamat, di sini 10 Oktober nanti.

- Advertisement -

Program ini kendalian bersama Jentera Pilihan Raya Muslimat DUN (JPrMD) Beserah dan Petugas Jiran Mesra Unit Daerah Mengundi (UDM) Balok Makmur serta Jawatankuasa Kemajuan, Kemasyarakatan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Selamat.

Ianya bakal dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu yang juga ADUN Beserah di mana program berhasrat menyemarakkan lagi agenda Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Ketua Muslimat PAS Balok Perdana, Zaimah Mohd memaklumkan, tiga PAS Cawangan iaitu Balok Perdana, Balok Makmur dan Kampung Selamat antara penggerak yang akan mengendalikan perjalanan karnival ini.

Pengerusi JKKK Kampung Selamat, Aziz Manap dari Umno dalam pertemuan semalam merasa berbangga dan teruja serta mengalu-alukan penglibatan daripada Muslimat PAS DUN Beserah dalam melaksanakan program kemasyarakatan ini.

Program juga akan melibatkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Kemajuan Negara (LPPKN) Kuantan, khasnya untuk wanita di mana satu ceramah ‘Aku Wanita Bahagia’ akan disampaikan wakil LPPKN Siti Asmad Zakarni.

Bakal diadakan juga ‘fun games’, serta gerai pelbagai jualan yang melibatkan penduduk setempat antara teristimewa adalah jualan ayam dengan harga menjunam serendah RM10 seekor di mana dijangka menjadi antara daya tarikan.

Selain itu, para pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dengan harga pakej RM10 dan pendaftaran subsidi mamogram dan HPV DNA secara percuma dengan kerjasama LPPKN Kuantan.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Azmoni Mohamed telah memberi penekanan untuk penganjur memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan sebaiknya.

Sebagai sentuhan rohani dan mengharap keberkatan Ilahi kepada karnival ini nanti, ianya akan dimulakan dengan solat hajat di awal pagi yang akan dipimpin oleh Ustazah Faeizah Mohd Amin.

Turut hadir ke tapak karnival ialah Ketua PAS Cawangan Kampung Selamat, Azman Ibrahim dan isteri ADUN Beserah, Nor Azni Wahab serta wakil Ahli Jawatankuasa setiap Cawangan. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -