Anak muda mahukan kepimpinan Islam

- Advertisement -

TAMBUN: Kestabilan politik merupakan gambaran kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, demikian kata Ketua Ameerah Kawasan Tambun, Nuradila Mohd Kamal.

- Advertisement -

Menurutnya, selain perlu memiliki sikap budaya saing yang tinggi di dalam pelajaran, anak muda juga seharusnya sentiasa mengambil cakna terhadap segala isu semasa khususnya perkembangan politik di tanah air ini.

Hal demikian kerana jelasnya, melalui kesedaran itu anak muda dapat melakukan penilaian yang baik ketika tiba hari mengundi iaitu dengan memilih calon pimpinan selayaknya untuk diangkat sebagai pimpinan negara.

“Baru-baru ini, Ameerah (Tambun) ada menjayakan program ziarah. Dalam sesi ziarah (itu), kita dapat dengar pandangan wanita muda mengenai politik di Malaysia ini. Rata-rata berkongsi pandangan bahawa mereka mahukan (pemimpin) Islam untuk menjadi tonggak utama negara.

“Dalam era serba moden ini, Ameerah selaku entiti muda Muslimat PAS perlu (lebih) giat melaksanakan program. Usaha-usaha ini amat penting supaya kita dapat mengetahui perkembangan semasa anak muda di samping memperkenalkan Ameerah itu sendiri,” jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Pengarah Ameerah Negeri Perak.

Terdahulu, Ameerah Kawasan Tambun telah mengadakan program Ziarah Merdeka pada 16 September lalu bersempena dengan sambutan Hari Malaysia iaitu dengan menziarahi wanita muda yang lahir pada bulan Ogos dan September di kediaman mereka.

Program yang berjalan serentak bagi kedua-dua DUN itu turut melibatkan Penyelia Pusat Khidmat Masyarakat DUN Manjoi, Ustaz Hafez Sabri dan Penyelia Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Kinta, Ustaz Md Salleh Said serta Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Tambun, Carmila Nan. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -