Iktibar PRN Sabah buat pengundi Cina

- Advertisement -

DALAM akhbar The Star hari ini terdapat satu tajuk berita berbunyi: “Sabah has no Chinese rep for Deputy CM post for first time”. Semalam Kerajaan Negeri Sabah diterajui Gabungan Rakyat Sabah atau GRS dibentuk dengan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (PPBM) dilantik sebagai Ketua Menteri dan tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (Umno-BN), Datuk Jefrey Kitingan (STAR) dan Dr Joachim Gunsalam (PBS). Buat pertama kali dalam sejarah Sabah sebagaimana dilaporkan The Star, tiada Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Sabtu lepas, calon-calon berbangsa Cina dari GRS kesemuanya tewas di tangan calon-calon WARISAN Plus. DAP sahaja menang di 6 dari 7 kerusi yang ditandinginya dengan majoriti yang begitu besar sehingga beberapa calon GRS hilang wang pertaruhan. Di DUN Luyang calon DAP menang dengan majoriti 14,521 undi, manakala di Kepayan pula DAP menang dengan majoriti 13,163 undi iaitu antara majoriti terbesar dalam PRN kali ini.

Ini bermakna masyarakat Cina di Sabah begitu terpengaruh dengan dakyah politik DAP sehingga memberikan sokongan padu kepada WARISAN Plus. Menurut Tay Tian Yan, kolumnis Sin Chew Daily hampir 95 peratus pengundi Cina di Sabah mengundi WARISAN Plus sebagaimana yang berlaku dalam PRU ke-14 apabila peratusan yang sama kaum ini mengundi dan memenangkan Pakatan Harapan. Sikap pengundi Cina di Sabah itu adalah hak mereka, mereka tidak sepatutnya dihukum kerana memilih sedemikian.

- Advertisement -

Namun oleh kerana mereka memilih untuk menolak GRS maka mereka sewajarnya menanggung dan memikul tanggungjawab, dan kini dengan kekalahan WARISAN Plus maka tiadalah suara mereka di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan, atas pilihan mereka sendiri. Jangan salahkan sesiapa.

Dalam demokrasi kita diberikan hak memilih dan menyokong sesiapa sahaja. Kiranya suara majoriti bersama pilihan atau kehendak kita, maka kita dianggap menang, akan tetapi jika sebaliknya, maka kita sesungguhnya telah dikalahkan oleh suara majoriti, maka berpuas hatilah dengan keputusan itu.

Lantas GRS sebenarnya tidak keterlaluan dalam meminggirkan kaum Cina dalam ‘lineup’ kepimpinan tertinggi negeri, kerana calon-calon GRS dari komuniti ini semuanya telah ditolak.

Kini masyarakat Cina Sabah terpaksalah bergantung harap pada kepimpinan GRS dalam kerajaan dan inilah masanya buat GRS bagi membuktikan yang politik baru yang dibawa hari ini lebih terbuka dan adil buat semua, bukannya politik perkauman dan adu-domba sebagaimana yang digunakan WARISAN Plus dalam berkempen tempoh hari.

Sebagaimana menurut Tian Yan, masyarakat Cina (Sabah) boleh terus marah, tidak puas hati dan mengkritik keputusan GRS ini sebagai tidak adil, namun demikian itulah realiti politik yang perlu diterima.

Dengan kemenangan ini GRS membuktikan dengan sokongan kaum Bumiputera Islam dan bukan-Islam sahaja sudah cukup untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah tanpa sokongan kaum Cina. Malah begitu juga menurut kalangan para penganalisa bahawa Muafakat Nasional juga dijangka mampu berbuat demikian di peringkat Persekutuan kiranya diadakan PRU.

Sebaiknya yang dibentuk adalah kerajaan berbilang kaum yang mencerminkan seluruh rakyat di Malaysia tetapi kiranya ada yang memilih untuk menongkah arus dan lebih tergiur dengan politik DAP dan konconya, maka akhirya sebagaimana dinyatakan Tian Yan: “Meletakkan kesemua telur di dalam bakul bermakna apabila bakul itu terlingkup maka tiadalah yang berbaki”. 

Semoga masyarakat Cina mengambil iktibar dari PRN Sabah ini. Marilah bersama kita bina dan bangunkan negara tercinta ini sebagaimana yang pernah dilakukan oleh datuk nenek kita sewaktu Merdeka dahulu dengan penuh toleran, kasih sayang dan cintakan negara. Politik ekstrem, adu-domba dan perkauman tiada tempat dalam Malaysia hari ini.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -