Yadim lantik sembilan ikon dakwah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) melantik sembilan Ikon Dakwah Yadim yang terdiri daripada tokoh yang berimej positif sebagai tarikan kepada masyarakat.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) Ustaz Nasrudin Hassan berkata, pemilihan itu sebagai duta Yadim bagi melestarikan lagi gerakan dakwah.

- Advertisement -

“Perlantikan duta Yadim ini bukan sahaja memperkenalkan Yadim kepada masyarakat, tetapi menambat rasa cinta dan kasih kepada Yadim, inilah ikon kita.

“Mereka akan membantu kita mengimarahkan dan menyemarakkan aktiviti dakwah yang dilakukan, mungkin selepas ini sama ada dakwah di lapangan akan disertai oleh ikon terbabit,” katanya di sini semalam.

Selain itu katanya lagi ikon terbabit turut terlibat sebagai panel penasihat Yadim kerana mempunyai kepakaran dan kebolehan masing-masing dalam bidang dakwah.

Perlantikan selama setahun itu akan turut dilibat dalam program anjuran Yadim seperti Bulan Dakwah, bengkel pembangunan Orang Asli dan sebagainya.

Penyerahan watikah perlantikan itu disampaikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang merasmikan majlis penutup hari terbuka Yadim.

Hadir menerima watikah itu Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, Firdaus Wong Wai Hung dan Ustazah Asma’ Harun.

Sementara itu tidak dapat hadir Prof. Dato’ Dr. Muhaya Mohamad, Dato’ Dr Norhafizah Musa, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre. – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -