PRN Sabah : Kematangan rakyat dalam membuat pilihan

- Advertisement -

PAS Pahang melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran dan merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah(GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

- Advertisement -

Kemenangan ini adalah hasil kematangan yang telah ditunjukkan oleh rakyat Sabah untuk menolak Parti Warisan dan rakan sekutu kuatnya DAP. Kematangan rakyat Sabah ini sekali gus menunjukkan bahawa mereka telah muak dengan politik sentimen kaum serta retorik yang akhirnya membawa kepada kehancuran kedamaian serta kemakmuran negeri Sabah sebelum ini.

Namun kemenangan ini, haruslah diingat, mestilah diperkukuh dan dijaga sentiasa, demi melestarikan kepimpinan negara yang harmonis, saksama di samping menjaga kepentingan bersama antara kaum. Sekiranya kita lalai dan leka dengan kemenangan ini, sudah pasti mimpi buruk 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah kerajaan Persekutuan dan sebahagian negeri-negeri yang lalu akan berulang.

Dalam kerangka untuk membentuk kerajaan negeri pula nanti, PAS Pahang ingin menasihati kesemua pucuk pimpinan GRS agar memahami bahawa kemenangan yang dikecapi ini adalah suatu amanah yang mestilah dipikul dengan baik, buatlah perbincangan yang paling berhemah di antara parti-parti dalam GRS khususnya dalam menentukan posisi terpenting sebagai teraju utama kerajaan negeri iaitu Jawatan Ketua Menteri dan selainnya. Jangan diulangi kesilapan lalu sehingga rakyat mulai resah dan hilang kepercayaan kepada parti pemerintah.

PAS Pahang berharap agar keutuhan Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti dalam Perikatan Nasional akan terus dipelihara dan dijaga demi kelestarian sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera .

Islam memperkukuh perpaduan

YB USTAZ MOHD TARMIZI YAHAYA
Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang
ADUN Panching – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -