Aktiviti dakwah jadi agenda nasional

- Advertisement -

KOTA BHARU: Aktiviti dakwah sebelum ini begitu sinonim dengan pertubuhan, persatuan dan badan bukan kerajaan, namun sekarang usaha itu turut digembleng agensi kerajaan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) Ustaz Nasrudin Hassan berkata, dakwah akan dijadikan salah satu program ke peringkat negara.

- Advertisement -

“Hari terbuka Yadim menterjemahkan pendekatan aktiviti dan kaedah penyampaian dakwah yang kita lakukan untuk menjadikan dakwah sebagai satu gelombang dalam negara.

“Dakwah tidak lagi menjadi program pada peringkat badan bukan kerajaan atau pun badan-badan tertentu sahaja, tetapi ia sebagai program nasional,” katanya selepas perasmian penutup hari terbuka Yadim yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob di sini, semalam.

Hari terbuka Yadim yang diadakan selama dua hari di Kota Bharu merupakan pertama kali diadakan sebelum bergerak ke Kedah dalam tempoh enam bulan akan datang.

Tujuan program itu diadakan kata Ustaz Nasrudin bagi merakyatkan Yadim supaya agensi di bawah di Jabatan Perdana Menteri terbabit tidak bersifat eksklusif.

Sebaliknya beliau berkata gerakan dakwah perlu dilestarikan supaya aktiviti berkaitan dapat bergerak dalam semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Matlamat kita untuk merakyatkan Yadim supaya tidak lagi bersifat eksklusif tetapi dia dapat disertai, dirasai dan dimiliki oleh semua rakyat semua peringkat.

“Sifat dakwah ini tidak hanya berlegar di pejabat ke pejabat, masjid ke masjid dan sebagainya tetapi biarkan dakwah ini melata agar rakyat dapat faedah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -