Tahniah Sabah bijak memilih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)Sabah adalah manifestasi pilihan tulus rakyat di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini membuktikan rakyat Sabah melihat dan merasai sendiri kemampuan Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir dengan lebih baik di peringkat persekutuan.

- Advertisement -

“Tahniah Sabah bijak memilih, saya rakamkan ucapan tahniah kepada GRS yang telah berjaya memenangi Pilihan Raya Sabah hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Pada PRN Sabah yang berlangsung semalam, GRS yang dianggotai PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkul 38 kerusi membentuk majoriti mudah sekali gus membolehkannya menjadi kerajaan Sabah.

Masing-masing memenangi 17 kerusi (PN), 14 kerusi (BN) dan tujuh kerusi (PBS).

Kemenangan itu menjadikan Parti Warisan Sabah yang diketuai Shafie Apdal, Pakatan Harapan dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai parti pembangkang di Sabah.

Warisan memenangi 29 kerusi, PKR dua kerusi, dan UPKO hanya satu kerusi, dengan keseluruhan 32 kerusi.

Ujar Ahmad Samsuri lagi, kemenangan GRS dipengaruhi oleh faktor calon yang kompeten dan berupaya selain sokongan daripada parti bertanding yang berpengalaman berbanding pesaing-pesaingnya.

“Dalam era yang mencabar hari ini, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan berkeupayaan tinggi bukan sahaja di peringkat kerajaan Persekutuan, tetapi juga di peringkat kerajaan negeri.

“Tahniah kepada semua pihak yang membantu kemenangan ini terutamanya rakyat Sabah yang bijak memilih,” katanya.

Semalam, seramai 446 calon PRN Sabah telah berentap di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di seluruh Sabah.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya 66.6 peratus atau 739,083 pengundi yang keluar mengundi semalam.

Walau bagaimanapun SPR tetap berpuas hati meskipun tersasar dari jangkaan awal iaitu 70 sehingga 75 peratus keluar mengundi menunjukkan komitmen rakyat Sabah walaupun berdepan situasi penularan pandemik Covid-19 di Sabah. – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -