Terima kasih rakyat Sabah: GRS bentuk kerajaan

ALHAMDULILLAH syukur ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kemenangan bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada kali ini.

Advertisement

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengucapkan sekalung tahniah kepada calon-calon rakan permuafakatan Gabungan Rakyat Sabah yang telah menang setelah diumumkan secara rasmi semalam oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan terus mengorak langkah untuk bersama membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Kita yakin inilah hasil kepercayaan rakyat Sabah yang teguh terhadap kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Yassin dan ternyata mendapat tempat di hati setiap rakyat Sabah sehingga berjaya menewaskan WARISAN Plus yang dipimpin Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal.

Disamping itu, rakyat dan anak muda Sabah juga melihat sinergi permuafakatan dan kerjasama parti-parti politik yang terdiri daripada BERSATU, PAS, STAR, PBS, dan BN dalam kesungguhan menumbangkan WARISAN Plus memberi suatu momentum yang besar kepada rakyat Sabah untuk membuat perubahan yang lebih baik.

Justeru, keputusan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil daripada mandat rakyat dan kerajaan yang bakal dibentuk adalah kerajaan rakyat Sabah yang pastinya akan memberikan manfaat limpahan kemakmuran kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Sabah yang menjadi ‘wira’ dalam pilihan raya ini, dan tidak dilupakan juga kepada semua jentera bantu yang terdiri daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah di seluruh negeri yang selama dua minggu bertungkus-lumus membantu memenangkan calon Gabungan Rakyat Sabah.

Akhir sekali, kepada ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS), laksanakanlah tugas sebagai wakil rakyat dengan penuh tanggungjawab untuk terus membela nasib rakyat negeri ini dan memacu tanah air kita, negeri Sabah ke arah yang lebih baik.

Sekian, terima kasih.

“Muafakat Menuju Kemenangan”

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 27/9/2020