MP PAS teguh sokong Muhyiddin jadi PM

- Advertisement -

MARANG: Respon Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semua Ahli Parlimen PAS masih teguh dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mempunyai majoriti yang mencukupi sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Sebaliknya, kata Tuan Guru Abdul Hadi, semua ahli parlimen daripada parti PAS mendukung kepimpinan Tan Sri Muhyiddin menjadi PM.

Beliau menegaskan, PAS akan terus bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan itu.

“Semua Ahli Parlimen PAS mendukung Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, (PAS) terus bersama Perikatan Nasional, Muafakat Nasional,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan Pelajar Robie’ Thanawi 2.0 di Dewan Tok Guru, Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang, semalam.

Namun, secara berkias kata Presiden PAS itu, bahawa orang PAS tidak naik ‘bas Ekspress’ yang tidak berhenti di stesyennya.

“Dan orang PAS tak naik ‘bas Ekpress’ yang tak berhenti di stesyen. Biar orang ramai hukumlah, saya tak mahu hukum dia (Anwar),” jelasnya ketika ditanya adakah Anwar tidak matang berpolitik.

Pada 23 September lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengadakan sidang media khas di ibu negara dan mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan menyakinkan untuk dipersembahkan kepada Duli Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presiden PKR itu juga turut mengumumkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh sebagai PM. – HARAKAHDAILY 25/9/2020

- Advertisement -