Covid 19 : Semua pihak perlu peka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa mengambil cakna dalam mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya menyifatkan pertambahan jumlah pesakit Covid-19 sangat membimbangkan.

- Advertisement -

“Hari ini sahaja terdapat 111 kes baharu dengan Sabah mendominasi majoriti pertambahan kes baharu tersebut dengan 97 kes.

“Malangnya pertambahan kes baharu di Sabah berlaku ketika mereka menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan ia merupakan satu cabaran bukan sahaja untuk rakyat Sabah tetapi Malaysia secara umumnya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, dengan sempadan yang agak terbuka dan kemeriahan suasana berkempen telah memberi satu resepi yang paling sesuai untuk penularan Covid-19 ini.

Justeru itu, katanya, semua pihak perlu mengambil cakna bagi mengekang pandemik ini.

Tegasnya, rakyat berserta parti politik dan pemimpin politik di seluruh peringkat perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Penjarakkan fizikal, pelitup separuh muka, hand sanitizer dan tidak bersalaman ketika berjumpa merupakan SOP yang perlu dipatuhi.

“Mudah-mudahan rakyat Sabah dan kita semua terus dipelihara serta dapat menunaikan tanggungjawab di dalam memilih wakil rakyat mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas di barisan hadapan di atas segala pengorbanan dan mengucapkan selamat mengundi kepada rakyat Sabah.

Esok merupakan hari penentuan PRN Sabah selepas dua minggu berkempen dan sebelum tepat jam tengah malam ini merupakan pecutan terakhir kepada para calon untuk kempen.

Dijangka seramai 1.12 juta pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab membuang undi di seluruh Sabah merangkumi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri menyaksikan 446 calon berentap antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 25/9/2020

- Advertisement -