Kerajaan utamakan kebajikan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya fokus perkara utama dan penting buat masa ini, kata Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, agenda utama kerajaan adalah bagi membendung penularan ancaman Covid-19 melibatkan kes baharu yang meningkat dan ke arah penerusan aktiviti ekonomi negara.

- Advertisement -

“Kerajaan tidak mahu terikut-ikut sikap segelintir ahli politik yang sanggup sabotaj ekonomi dan kestabilan politik demi mengikut cita-cita peribadi selama ini.

“Pandemik Covid-19 masih belum reda tetapi rakyat masih berusaha untuk meneruskan hidup, justeru itu kerajaan akan terus membantu ekonomi dan kelangsungan rakyat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu juga berkata, peruntukan sebanyak RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada Rabu lalu membolehkan rakyat dan majikan terus memperoleh pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran.

“Oleh sebab itu, pakej BPN 2.0, Program Subsidi Upah dan Geran Khas PRIHATIN sangat tepat untuk memastikan kitaran ekonomi berjalan dan boleh mencapai sasaran tahun 2020,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pakej Kita Prihatin perlu dilaksanakan kerana beberapa sektor baru menunjukkan sedikit pemulihan, namun ia perlukan rangsangan bagi mempercepatkan usaha pemulihan tersebut.

Antaranya sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS), ianya jelas mencerminkan usaha berterusan kerajaan Perikatan Nasional bagi membantu rakyat. – HARAKAHDAILY 25/9/2020

- Advertisement -