MB Terengganu tangguh semua aktiviti

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terpaksa menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas dikesan berlaku kontak dengan dua individu yang positif Covid-19, beberapa hari lalu.

Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, kuarantin wajib 14 hari bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu sehingga 3 Oktober ini.

Advertisement

Ini kerana, katanya Ahmad Samsuri telah dikesan mempunyai kontak dengan dua individu terbabit yang positif Covid-19.

“Adalah dimaklumkan bahawa semua program atau aktiviti yang melibatkan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, adalah ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang diarahkan oleh pihak Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, selepas berlaku kontak dengan dua individu positif Covid19 beberapa hari lalu.

“Tindakan pantas telah diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengenalpasti, menghubungi dan menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

“Pemantauan berterusan juga sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dengan penuh dedikasi,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Namun, kata Muhyidin, Menteri Besar itu telah pun menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif.

Menurutnya, meskipun keputusan ujian RRT-PCT Covid-19 itu negatif tetapi beliau perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti.

“Walaupun begitu, YAB Dato’ Seri Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri) akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 September ini, secara video atas talian,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 25/9/2020