PRN Sabah: Satu sorotan

MUKADDIMAH

Advertisement

Sabah adalah negeri pertama berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) pasca kejatuhan PH di peringkat persekutuan. Beberapa kerajaan negeri sebelum ini turut beralih tangan, tetapi hanya melalui proses yang melibatkan wakil-wakil rakyat sahaja tanpa melibatkan rakyat secara langsung. Inilah yang menjadikan PRN Sabah sangat signifikan dan mencuri perhatian.

Politik negara pasca kejatuhan PH dan kemunculan PN memang begitu pantas berubah dan senario sokongan rakyat semakin sukar dijangka.

Parti-parti politik yang kita kenali dahulu juga, tidak lagi sama. Sekurang-kurangnya masing-masing telah ada pengalaman menjadi kerajaan dan menjadi pembangkang. Rakyat pun sudah semakin dapat menilai hati budi setiap parti sehingga ke lubuk hati mereka yang paling dalam. Semuanya berdasarkan tindakan dan sikap mereka semasa menjadi kerajaan dan sebagai pembangkang.

PRN Sabah pula adalah medan awal parti-parti politik mula mengenal hati budi dan cita rasa pengundi pula.

Perkembangan semasa berdasarkan tokoh-tokoh politik yang bakal mempengaruhi PRN Sabah

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebagai PM, beliau sangat berpengaruh untuk mewujudkan hubungan yang lebih berjaya antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Selain itu, program-program Persekutuan di Sabah memerlukan dokongan kuat PM yang prihatin dengan kebajikan rakyat.

Muhyiddin telah berjaya menunjukkan kemampuan beliau menjadi PM kepada semua rakyat Malaysia. Beliau dilihat berjaya mengemudikan pentadbiran Kerajaan dan agensi-agensinya dengan lancar sekali. Kabinet yang dibentuk oleh beliau dilihat sangat berkesan dan memberi impak positif kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

Beliau telah berjaya memimpin negara menangani pandemik COVID-19 dengan baik sekali. Bantuan Prihatin Nasional yang diusahakannya telah mengharumkan kedudukan beliau di hati jutaan rakyat Malaysia.

Beliau dilihat tenang berdepan dengan pelbagai krisis sepanjang lebih setengah tahun menjadi PM. Terdapat banyak percubaan dibuat oleh PH Plus untuk menjatuhkan beliau dan PN daripada Putrajaya. Satu demi satu percubaan tersebut dipatahkan secara berhemah. Terbaru, beliau tenang menghadapi dakwaan DS Anwar bahawa Kerajaan PN telah pun ‘jatuh’ ketika KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agung sedang gering dan menerima rawatan di IJN.

Di bawah kepimpinan beliau, Kerajaan PN dilihat berada di laluan yang tepat untuk memenangi hati majoriti rakyat Malaysia. Pasukan beliau di Sabah pula adalah tokoh-tokoh politik tempatan telah lama menabur bakti dan berkhidmat kepada masyarakat setempat. Muhyiddin dilihat berupaya melonjakkan Sabah beberapa tapak di hadapan jika pasukannya berjaya membentuk Kerajaan Negeri dalam PRN ini.

2. Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebagai mantan PM ke-7, beliau adalah tonggak utama kepimpinan PH selepas PRU14. Beliau mempunyai pengaruh yang sangat kuat ketika menjadi PM ke-7. Pengaruh beliau sehingga mengatasi pengaruh tokoh gerakan reformasi dan pengasas PKR, DS Anwar Ibrahim.

Namun beliau kelihatan sudah benar-benar berada di hujung karier politiknya. Beliau telah diputuskan tidak lagi menjadi ahli atau Penasihat BERSATU. BERSATU ketika ini berada di bawah kepimpinan penuh TS Muhyiddin Yassin.

Tun Mahathir menubuhkan parti baru PEJUANG. Namun PEJUANG tidak turut disertai oleh anak didiknya yang paling junior tetapi berpotensi besar, Syed Saddiq. Walaupun begitu, PEJUANG tetap disertai oleh anaknya, DS Mukhriz dan mantan Menteri Pendidikan yang dipecat oleh beliau sendiri, Dr. Mazlee Malik.

PEJUANG juga tidak dikira menjadi PH Plus secara rasmi. Tun Mahathir sendiri juga tidak lagi menjadi calon PM menunggu buat gabungan PH. PEJUANG tidak bertanding di Sabah pada kali ini. Mungkin ekoran kekalahan besar di PRK Slim.

Yang penting dalam konteks PRN Sabah ialah Tun Mahathir mencadangkan Tan Sri Shafie Apdhal sebagai calon PM terbaik buat PH, jika mereka kembali semula ke Putrajaya.

3. Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Nama beliau sebelum ini dilihat kurang signifikan dalam PRN Sabah. Sehinggalah semalam, nama beliau dilihat semakin berpengaruh lantaran mengumumkan ‘kejatuhan’ Kerajaan PN.

Anwar pada awalnya diperhatikan hilang minat dengan PRN Sabah dan seolah-olah tidak mahu menggunakan pengaruh peribadi beliau untuk berkempen bagi PH Plus di bumi Sabah secara optimum. Ia ekoran daripada PKR yang hanya diberikan 8 kerusi untuk ditandingi.

Namun begitu, jika beliau berjaya ke Putrajaya sehari dua lagi seperti dakwaannya, WARISAN tetap tidak mempunyai kelebihan kerana Presiden WARISAN adalah saingan Anwar yang dicanangkan oleh Tun Mahathir untuk kerusi PM.

4. Dato’ Seri Panglima Mohd Shafie Apdal. Beliau memang tokoh Sabah yang sangat berwibawa. Beliau pernah digantung dan dipecat daripada jawatan Naib Presiden Umno, tetapi bangkit melalui parti baru yang ditubuhkannya, WARISAN.

Selepas PRU14, lompatan beberapa ADUN Sabah menyokong WARISAN mengangkat beliau menjadi Ketua Menteri Sabah pada era PH menguasai Putrajaya.

WARISAN bukanlah komponen PH. Sekadar PH Plus. Sebabnya Shafie tidak mahu ketidakpuasan hati rakyat Sabah terhadap PH di Semenanjung terpalit kepada WARISAN di Sabah. Jika difikirkan pada masa ini, ia adalah langkah politik yang sangat bijak.

Kejatuhan PH di Putrajaya ditangani oleh Kerajaan Sabah dengan tenang. Ketika memilih untuk bersama PN atau PH pasca peletakan jawatan Tun Mahathir, beliau memilih untuk bersama Tun Mahathir.

Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dek sama-sama dipecat daripada puncak kepimpinan Umno kerana setia kepada kepada Tun Mahathir. Saya kira, jika beliau bersama Muhyiddin, beliau ada peluang yang lebih baik.

Ketika ini kesetiaan beliau kepada Tun Mahathir tidak memberikan WARISAN apa-apa kelebihan, kerana pengaruh Tun sudah semakin merudum. Tambahan lagi, beliau juga dilihat sebagai saingan untuk kerusi PM oleh kem DS Anwar Ibrahim di dalam PH.

Sebenarnya, beliau dan WARISAN sedang berjuang berseorangan. Beliau tidak bersama PN, dan tidak lagi sesuai bersama PH tanpa Tun Mahathir. Ini menjadikan agenda membangunkan Sabah semakin sukar.

Dasar ‘ikat perut’ pentadbiran PH sebelum ini menjadikan WARISAN kurang efektif mentadbir Sabah. Sabah tidak mendapat banyak inisiatif ekonomi semasa pentadbiran PH sebagaimana inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi yang diperolehi pada era pentadbiran BN di bawah Datuk Seri Najib. Ini menjadi beban yang ketara kepada WARISAN dalam PRN ini.

Yang paling mencederakan beliau setakat ini ialah kenyataan calon WARISAN Datuk Mohammadin Ketapi yang secara jelas ‘menghina’ pasukan keselamatan negara berhubung dengan ‘Ops Daulat’ dan ‘menghina’ pasukan petugas COVID-19 yang dianggap sengaja mengklasifikasikan Sabah dengan kod kes COVID-19 yang meningkat.

5. Tan Sri Musa Aman. Mantan Ketua Menteri Sabah ini dilihat saingan utama kepada Shafie pada peringkat awal, tetapi akhirnya tidak tersenarai bertanding mewakili Umno. Pengarah Pilihan Raya BN dan GRS, Dato’ Seri Bung Moktar Radin menyatakan sebab beliau tidak dicalonkan adalah kerana beliau tidak minta untuk bertanding. Ada sedikit keraguan bagi penjelasan tersebut.

Namun itu membolehkan Umno menyertai PRN dengan beban yang lebih ringan. Mereka tidak perlu menjawab serangan WARISAN terhadap Tan Sri Musa Aman. WARISAN juga kehilangan peluru untuk menyerang kem BN, PN dan GRS.

Selang beberapa hari nama beliau tidak dicalonkan, Tan Sri Musa Aman muncul berkempen menyokong komponen GRS dan tidak membesar-besarkan insiden tersebut. Ini adalah berita baik untuk BN, PN dan GRS.

6. Dato’ Seri Bung Mokhtar Radin. Beliau dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya BN. Pada awalnya, dibantah oleh beberapa pihak di dalam BN tetapi tidak berjaya. Setakat ini beliau berjaya mengemudi jentera kempen BN dengan efektif.

Walaupun Bung Moktar terkenal dengan suara lantang dan komentar pedas di Parlimen, beliau berjaya mengawal bahasa pertuturan beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya BN dengan baik sekali. Beliau kelihatan seperti Bung Moktar versi baru.

Nama beliau juga termasuk dalam senarai pendek calon Ketua Menteri Sabah yang baru jika PN dan GRS menang dalam PRN ini. Beliau mempunyai pengaruh di Sabah dan juga dalam kepimpinan Umno Malaysia yang menjadi antara tonggak utama PN yang mentadbir Putrajaya. Ini menjadikan beliau antara tokoh berpengaruh dalam PRN Sabah.

7. Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak. Mantan PM ke-6 ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Aura kewibawaannya semakin terserlah selepas tidak lagi menjadi PM. Imej Bossku telah berjaya meruntun jiwa rakyat Malaysia.

Walaupun terpalit dengan isu 1MDB dan kes-kes mahkamah, DS Najib tenang menjawab persoalan rakyat di Facebook beliau. Percubaan PH, Lim Guan Eng dan Tun Mahathir untuk menguburkan karier politik beliau dengan menggambarkan beliau sebagai pemimpin paling korup berjaya ditangkis dengan bergaya sekali.

Beliau melondehkan kekorupan musuh beliau satu persatu. Sekurang-kurangnya mereka tidaklah bersih sebagaimana yang mereka cuba gambarkan. Hasil pembongkaran itu sangat luar biasa. Fakta dan angka yang disebut oleh Bossku sering menjadikan lawannya seringkali tidak dapat tidur lena.

Kelebihan Najib ketika menjadi PM ialah dasar pentadbirannya yang banyak memberikan inisiatif kebajikan sehingga ke peringkat rakyat yang paling bawah. Walaupun itu adalah satu strategi beliau untuk mendapatkan sokongan rakyat, namun program-program seperti itu menjadikan nama beliau sukar ditandingi oleh Tun Mahathir ataupun Lim Guan Eng.

Inisiatif ekonomi bagi negeri Sabah pada zaman beliau jauh lebih baik daripada apa yang diperolehi oleh WARISAN semasa era PM ke-7. Nostalgia era Najib adalah ‘feel good factor‘ buat jentera BN di Sabah.

Penutup

Ada ramai lagi tokoh-tokoh pemimpin utama politik Sabah yang memiliki sokongan akar umbi di DUN-DUN tradisi mereka.

Tetapi cara mereka membentuk gabungan politiklah yang menjadikan mereka lebih berupaya untuk benar-benar membawa perubahan di Sabah. Di mana, isu tempatan sentiasa ada kaitan dengan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

Pada pandangan saya kem BN dan kem WARISAN adalah pesaing utama dalam PRN ini. Parti-parti politik lain di bawah gabungan mereka cuba bersaing sesama sendiri untuk membuktikan bahawa pengaruh mereka masih ada, dan besar kemungkinan sanggup membuat rundingan baru dengan pemegang kerusi terbanyak selepas PRN selesai.

Perlu diingat, rakyat Sabah sangat peka politik. Walaupun ramai tokoh, banyak parti dan Ketua Menteri bertukar ganti, namun kebanyakan mereka dapat mengingati susur galur setiap daripadanya tanpa merujuk kepada sebarang nota bertulis.

Selamat mengundi untuk rakyat Sabah. Jadi diri, jaga keluarga dan patuhi SOP.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 24 September 2020 – HARAKAHDAILY 24/9/2020