Apa kesan pengumuman Anwar?

TIADA petanda yang jelas menunjukkan Anwar mendapat sokongan untuk menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyidin Yassin.

Namun keberanian beliau membuat pengumuman menimbulkan banyak persoalan. Dari sudut Perlembagaan, adakah tindakannya itu memberi kesan kepada kerajaan sedia ada?

Adakah Yang di-Pertuan Agong perlu melakukan sesuatu untuk menentukan kesahihan dakwaannya itu?

Perkara 43(4) menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43(2)(a) pula menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Perkataan “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti” tidak dijelaskan dengan terperinci dalam Perlembagaan. Walau bagaimana pun ia boleh dilaksanakan dengan beberapa cara, misalnya:

Pertama, melalui undian di Dewan Rakyat. Undian ini tidak semestinya melalui usul khusus untuk menilai kepercayaan. Tahap sokongan terhadap usul Rang Undang-undang atau usul Belanjawan sudah memadai untuk dijadikan kayu ukur bagi menilai sama ada Perdana Menteri hilang kepercayaan atau tidak.

Kedua, dengan mengemukakan senarai penuh sekurang-kurangnya 112 orang Ahli Dewan Rakyat yang hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri sedia ada. Selepas senarai dikemukakan, Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu diberi masa yang munasabah untuk mengesahkan atau menafikan. Ini kerana mungkin senarai itu tidak benar.

Ketiga, dengan mengumpulkan semua Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya dan mengadakan sidang akhbar secara bersama bagi mengisytiharkan bahawa mereka telah hilang sokongan kepada Perdana Menteri sedia ada.

Keempat, pemimpin parti-parti yang menyokong beliau boleh membuat sidang akhbar atau kenyataan media menyatakan sokongan blok Ahli-ahli Parlimen dari parti masing-masing terhadap beliau. Namun cara ini perlu disusuli dengan tempoh yang munasabah bagi memberi peluang Ahli-ahli Parlimen yang tidak setuju dengan pemimpin parti mereka membuat kenyataan balas.

Keempat-empat cara di atas hanyalah contoh. Sebenarnya apa-apa cara yang dapat menunjukkan bahawa Perdana Menteri “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti” boleh dilakukan. Tapi buat masa ini belum ada satu petanda yang jelas mengenai dakwaan itu.

Jadi, kita boleh simpulkan bahawa kerajaan sedia ada masih kukuh dan teguh. Tambahan pula parti-parti yang menganggotai kerajaan atas nama Perikatan Nasional secara terbuka menyatakan kepercayaan mereka kepada Perdana Menteri.

Dari sini timbul pula persoalan: Adakah wajar seorang pemimpin membuat pengumuman bahawa Perdana Menteri “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti” tanpa asas yang kukuh?

Bagi saya tidak wajar. Kebebasan bersuara tidak harus disalahguna untuk mengelirukan rakyat dan negara. Jika terbukti kenyataan itu dibuat tanpa bukti yang kukuh, makai ia adalah satu bentuk penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Apa lagi jika kenyataan itu melibatkan urusan Yang di-Pertuan Agong.

Kita amat berharap cara ini tidak menjadi ikutan pada masa hadapan. Moga pemimpin dan ahli politik kita mengutamakan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik sendiri. Kita doakan moga Malaysia terus damai dan sejahtera dan mampu menghadapi wabak COVID-19 dan cabaran ekonomi semasa.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Gombak, Selangor – HARAKAHDAILY 24/9/2020

Advertisement