Umrah: Malaysia tunggu makluman rasmi Saudi

PUTRAJAYA: Malaysia akan mendapatkan maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah seperti yang dilaporkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sebarang ketetapan mengenai kebenaran menunaikan ibadah itu perlu dibincangkan dengan teliti dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu,” katanya.

Beliau mengulas berhubung laporan Arab Saudi membenarkan semula ibadat umrah untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini selepas tujuh bulan ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

Advertisement

Dilaporkan, sebagai permulaan kira-kira 6,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula 4 Oktober, manakala jemaah dari luar negara pula dibenarkan berbuat demikian mulai 1 November dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari.

Ketika merasmikan Seminar Penipuan Umrah bersama Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini, Zulkifli berkata kerajaan Arab Saudi pasti akan mengehadkan jumlah jemaah umrah selain terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) tentang SOP yang perlu dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia dibenarkan menunaikan ibadat umrah.

“Kami akan bincang dan lihat apa saranan MKN… kita tidak mahu ada kluster baru pula wujud,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Zulkifli berkata kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan agensi pengelola umrah kerana melalui tadbir urus mereka yang cemerlang menyumbang kepada nama baik Malaysia yang seringkali disebut-sebut dan dicontohi di peringkat global. – BERNAMA