CRS demi keselamatan, elak risiko kemalangan

Foto BERNAMA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggunaan Sistem Kekangan Kanak-Kanak (CRS) atau kerusi keselamatan bayi bukanlah bertujuan untuk mengenakan penalti, saman ataupun menyusahkan orang ramai tetapi untuk mengelakkan risiko kemalangan di atas jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, peraturan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk mengubah minda dan sikap orang ramai secara berperingkat untuk menyedari akan kepentingan penggunaan CRS bagi menjamin keselamatan anak-anak mereka.

- Advertisement -

“Sejak peraturan ini diperkenalkan daripada kajian yang dijalankan terdapat bukti yang jelas menunjukkan peningkatan kesedaran ibu bapa dengan peningkatan kadar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sebanyak enam peratus iaitu daripada 38 peratus pada tahun 2019 kepada 44 peratus pada tahun 2020.

“Pertubuhan keselamatan jalan raya di seluruh dunia telah memperakui akan kepentingan dan kebaikan kegunaan CRS dalam mengurangkan risiko kecederaan atau kematian yang mungkin dialami oleh kanak-kanak di dalam suatu kemalangan.

“Berdasarkan kajian, kanak-kanak berumur di antara dua hingga lima tahun yang menggunakan tali pinggang dewasa akan mempunyai risiko lebih tiga kali ganda untuk mengalami kecederaan serius dan lebih daripada empat kali ganda cenderung mengalami kecederaan kepala yang serius berbanding dengan kanak-kanak yang menggunakan CRS,” ujarnya di Sidang Dewan Negara, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, penggunaan CRS hanya diwajibkan kepada kenderaan persendirian sahaja dan pengecualian diberikan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai sekali gus tidak membolehkan peralatan itu dipasang dengan sempurna di dalam kenderaan tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Limbang berkata, kerajaan sedar wujudnya kekangan bagi memperluaskan pelaksanaannya kepada perkhidmatan awam di atas faktor kesesuaian terhadap fizikal kanak-kanak dan keadaan persekitaran.

Justeru itu, kementerian dengan kerjasama Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) akan mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak persatuan pengeluar dan penjual kenderaan serta pihak pembuat dan pengimport CRS ke arah mengurangkan kos jualan CRS.

Dalam pada itu, pihaknya telah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi pendekatan terbaik bagi pelaksanaan dasar CSR.

“Umumnya, semua berpandangan bahawa semua pihak berkepentingan perlu berbalik kepada prinsip asal iaitu kembali kepada asas iaitu tali pinggang keledar dan CRS dalam isu keselamatan melibatkan penumpang kanak-kanak di dalam sesuatu kenderaan.

“Antara lain, kementerian akan merangka cara penyelesaian jangka panjang yang dapat melindungi tahap keselamatan kanak-kanak tanpa membebankan rakyat khususnya ibu bapa.

“Kementerian akan terus meneliti maklum balas daripada orang ramai mengenai piawaian berat, tinggi dan umur kanak-kanak yang perlu menggunakan CRS agar ianya terus setara dan relevan dengan standard keselamatan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa,” kata Hasbi.

Beliau berkata demikian bagi menjawap persoalan daripada Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan berkenaan tindakan kerajaan terhadap pelaksanaan sistem CRS yang telah dikuatkuasakan bermula Januari lalu. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -