Maritim tahan nelayan asing tangkap gamat

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Maritim Malaysia mematahkan aktiviti penangkapan spesis gamat yang dipercayai didalangi warga negara Vietnam di perairan Kelantan.

Pengarah Maritim Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, 250 kilogram gamat spesis Holothuria Scabra berjaya dirampas.

- Advertisement -

Katanya hidupan laut spesis keluarga Holothuriidae itu dilindungi International Union for Conservation of Nature (IUCN).

“Nelayan asing menyasarkan spesis tertentu yang lebih berkhasiat dan bernilai pasaran tinggi, mungkin spesis ini sahaja ditangkap.

“Malah penggunaan tangguk besi yang digunakan menangkap gamat turut memusnahkan terumbu karang dan ekosistem marin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan warga asing semasa menjalankan operasi Kuda Laut.

Mereka dikesan anggota Maritim Malaysia pada jam 10.05 pagi dalam keadaan mencurigakan pada jarak 54.2 batu nautika dari Muara Tok Bali.

Lima awak-awak termasuk tekong berjaya ditahan 10 minit kemudian walaupun pelbagai helah dilakukan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

“Bot terbabit melepaskan tali sauh sepanjang 100 meter di belakang dan bergerak secara zig zag untuk elak ditahan Maritim Malaysia.

“Mereka yang berumur antara 40 hingga 49 gagal mengemukakan dokumen sah untuk menangkap ikan di perairan negara,” katanya.

Beliau juga berkata, nilai rampasan terhadap bot, peralatan menangkap gamat dan hasil gamat dianggar bernilai RM300,000.

Sebanyak 250 kilogram gamat basah dianggar bernilai RM2,500 dan jika dikeringkan nilainya meningkat RM300 hingga RM1,000.

Bot dan individu terbabit dibawa ke Jeti Maritim Kelantan untuk disoal siasat di bawah Seksyen 15 Akta Perikanan 1985.

Jika didapati bersalah tekong warga Vietnam terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta dan RM600,000 awak-awak. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -