Negara anggota konvensyen pelarian perlu lindungi pelarian

Foto arkib Harakah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus mengambil pendekatan menggesa negara yang menganggotai Konvensyen mengenai status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Pelarian 1967 untuk dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab memberikan perlindungan kepada pelarian tanpa mengira asal usul, etnik, agama dan sebagainya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datin Mastura Mohd Yazid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Prof Emiratus Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berhubung langkah-langkah yang diambil kerajaan dan polisi kerajaan Malaysia mengenai isu pelarian Rohingya yang sedang berada di Malaysia.

- Advertisement -

Sementara itu Mastura berkata, dasar kemanusiaan harus sentiasa diambil kira walaupun Malaysia bukan ahli kepada Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, pelarian yang memegang kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) dibenarkan tinggal sementara sehingga ditempatkan ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.

Ini kerana, dasar kerajaan tidak membenarkan mana-mana pelarian untuk tinggal secara berterusan di dalam negara berikutan negara masih belum meratifikasikan konvensyen itu di peringkat antarabangsa.

“Pelarian ini juga bebas bergerak kecuali ke Sabah dan Sarawak, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan dengan dikenakan caj 50 peratus berbanding warga asing yang mempunyai dokumen yang sah, pendidikan di Pusat Pembelajaran Alternatif, dibenarkan bekerja sendiri untuk sara hidup dan sebagainya,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya semua negara ahli dapat memainkan hak dan tanggungjawabnya, isu pelarian ini akan dapat ditangani bersama, malah penyelesaian kepada isu pelarian perlu ditumpukan kepada punca berlakunya krisis pelarian tersebut.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah dipertanggungjawab dalam menyelaras pengurusan pelarian di Malaysia berdasarkan kepada arahan MKN.

Justeru itu katanya, penambahbaikan kepada Arahan MKN no.23, sedang dilaksanakan dengan memberikan penekanan terhadap mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, pelaksanaan dasar-dasar membabitkan kebajikan dan sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -