Setem ‘Bangunan Ikonik Putrajaya’ mula dijual

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peminat dan pengumpul setem kini boleh mendapatkan siri setem  ‘Bangunan Ikonik Putrajaya’ yang menawarkan lima reka bentuk menerusi kedai dalam talian Pos Malaysia www.eziemall dan semua pejabat pos di seluruh negara mulai semalam.

Ketua Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia Schrene Goh berkata sebanyak 250,000 keping dikeluarkan bagi setiap reka bentuk dengan denominasi RM1.30 setiap satu, manakala produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dan folder masing-masing berharga 50 sen dan RM6. 

 Beliau berkata selain itu, pengumpul setem juga boleh mendapatkan keseluruhan set pada harga RM26.

- Advertisement -

“Putrajaya ialah warisan dan simbol kepada negara dan keindahannya telah menarik perhatian dunia kerana pusat pentadbiran itu mempamerkan banyak seni bina mengagumkan yang diinspirasikan oleh seni bina Islam, Eropah dan Melayu.

“Ini telah mencetuskan kerjasama di antara Pos Malaysia dan Perbadanan Putrajaya untuk mengeluarkan siri setem khas ‘Bangunan Ikonik Putrajaya’ bersempena ulang tahun ke-25 Putrajaya dan untuk berkongsi keindahan seni bina ini dengan pengumpul setem dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.
  
Dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Ogos lepas, siri setem berkenaan merangkumi bangunan ikonik seperti Perdana Putra, Istana Kehakiman, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Jambatan Seri Gemilang. – BERNAMA

- Advertisement -