MPOB giat laksana R&D hasilkan tanaman berkualiti

Foto sekadar hiasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) giat menjalankan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan bagi menghasilkan bahan tanaman yang berkualiti dan berhasil tinggi yang dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti sawit negara.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng berkata, kajian biak baka bagi penghasilan sesuatu baka sawit mengambil masa antara 10 hingga 20 tahun iaitu satu hingga dua kitaran hidup (life cycle) bagi memperoleh data dan keputusan yang komprehensif.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara hasil kajian bahan tanaman sawit terkini daripada MPOB adalah Palm Series 1.1 (PS1.1) yang mempunyai ciri unggul pokok renek iaitu kadar pertambahan ketinggian tahunan kurang daripada 40cm per tahun.

“Baka ini adalah 20 hingga 25 peratus lebih rendah daripada baka kacukan Dura x Pisifera (DxP) semasa yang dapat memudahkan proses penuaian.

“Manakala dari segi hasil, baka ini mampu mencapai pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) 35 tan per hektar per tahun dan kadar perahan minyak (OER) sehingga 27 peratus dengan hasil minyak sekitar 8 tan per hektar per tahun,” kata pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu katanya, skala pengeluaran dan penanaman bahan tanaman ini masih di peringkat awal dengan kapasiti pengeluaran 50,000 biji benih setahun.

Manakala, sekitar 80 peratus daripada pengeluaran biji benih adalah untuk kegunaan MPOB sendiri bagi perladangan komersil dan penyelidikan manakala bakinya adalah untuk pasaran tempatan terutamanya pekebun kecil.

Katanya, keluasan tanaman baka PS1.1 sehingga kini adalah sekitar 70 hektar merangkumi penanaman di kawasan ladang usaha sama MPOB dan industri. Dijangkakan keluasan tanaman akan meningkat dalam beberapa tahun ini.

Selain biak baka sawit, MPOB juga mengkomersilkan bahan tanaman klon dan antara bahan tanaman sawit klon yang telah dibangunkan dan dikomersialkan oleh MPOB adalah Clonal Palm Series 1 (CPS1), Clonal Palm Series 2 (CPS2) dan Clonal Palm Series 3 (CPS3).

Baka siri CPS ini mampu mengeluarkan kira-kira 10 peratus hingga 15 peratus lebih hasil berbanding baka DxP dengan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan persekitaran yang bersesuaian dan sehingga kini kawasan seluas 312 hektar telah ditanam dengan bahan tanaman klon tersebut.

Bagaimanapun katanya, MPOB sentiasa bekerjasama dengan industri dalam membangunkan sesuatu bahan tanaman baharu, khususnya dalam peringkat kajian di lapangan kerana kekangan kapasiti makmal pengeluaran klon dan keluasan ladang yang terhad.

Selain itu, baka klon sawit juga boleh didapati dari makmal komersil dan hasil-hasil kajian bahan tanaman baharu yang dijalankan oleh MPOB tersebut akan dikongsi bersama para penanam sawit melalui program usaha sama antara agensi serta melalui Seminar Pemindahan Teknologi (Transfer of Technology atau TOT Seminar). – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -