Tindak pantas KASA tangani pembakaran terbuka di U8

- Advertisement -

SHAH ALAM: Tindakan pantas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menangani isu pembakaran terbuka di Jalan Tiang U8/93, Seksyen U8 Shah Alam dipuji warga penduduk.

- Advertisement -

Ia juga menunjukkan keprihatinan KASA dan JAS terhadap aduan penduduk sekitar lokasi pembuangan sampah haram tersebut melalui portal Shahalamku baru-baru ini.

Penduduk Bukit Jelutong, Zulkifli Ahmad mengucapkan terima kasih atas tindakan cepat yang dilakukan oleh pihak JAS Selangor bagi keselamatan dan kesejahteraan semua.

Perkara yang sama turut disuarakan Nazir Masjid al-I’tisam Khamis Abdul Kadir yang mengharapkan warga Shah Alam bersikap bertanggungjawab membuang sampah di tempat disediakan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air,Dr Mohd Zuhdi Marsuki, siasatan telah dijalankan sebaik mendapat aduan tersebut pada hari yang sama.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Shah Alam yang tiba ke lokasi setelah dimaklumkan mengambil masa empat jam untuk memadam kebakaran tersebut.

Menurut beliau lagi, sisa bangunan, pangkasan pokok dan plastik telah dibuang ke kawasan tempat pembuangan sampah haram tersebut dengan kedalaman sehingga tiga kaki.

“Ini menyebabkan kawasan sekitar berbau busuk dan terdedah dengan serangga perosak serta pembakaran terbuka,” ujar beliau.

Hasil carian pemilikan oleh JAS Selangor di Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, kawasan terlibat dianggarkan berkeluasan dua ekar dan kertas siasatan ke atas pemilik tanah dalam proses dibuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Akta tersebut memperuntukkan larangan pembakaran terbuka yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – shahalamku.com


- Advertisement -