Tidak salah taksub kepada kebenaran – PJ PAS Melaka

Foto ABU ANAS
- Advertisement -

KOTA MELAKA : Tidak salah jika seseorang itu taksub kepada perkara yang hak dan kebenaran sebagaimana sikap Saidina Abu Bakar yang sentiasa mengiyakan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Walaupun di saat masyarakat Arab hilang kepercayaan kepada Rasulullah SAW berikutan dari peristiwa Israk Mikraj namun Saidina Abu Bakar As-Siddiq tetap membenarkan kata-kata baginda.

- Advertisement -

Menurut Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, ketika Musyrikin Makkah yang pada ketika itu cuba ‘mentasykik’ (mencipta keraguan) di hati Saidina Abu Bakar atas kenyataan Rasulullah SAW bahawa baginda telah pergi ke Baitulmuqaddis dan pulang semula ke Makkah dalam tempoh satu malam sahaja, namun Saidina Abu Bakar dengan tanpa ragu-ragu tetap mempercayai kata-kata baginda.

Tambah Ustaz Kamarudin lagi, Saidina Abu Bakar malah menjawab sekiranya Rasulullah SAW mendakwa baginda berjalan lebih jauh dari Baitulmuqaddis dan pulang semula ke Makkah dalam tempoh satu malam sekalipun beliau tetap mempercayainya, menunjukkan ketaksuban yang tinggi beliau kepada Rasulullah SAW.

“Tuan-tuan taksub kepada Islam tak apa. Walaupun tak belajar semua bab dalam Islam, orang kata apa pun dekat Islam, kita tetap kata Islam betul.

“Walaupun kita bukan belajar peringkat ijazah pengajian Islam dan sebagainya, tak mengapa. Taksub dengan benda yang betul tak apa. Taksub dengan benda yang tak betul yang tak dibenarkan dalam Islam.”

Ustaz Kamarudin yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka itu menambah, oleh kerana kesetiaan dan keyakinan tidak berbelah bahagi Saidina Abu Bakar menjadikan beliau terpilih sebagai salah seorang watak penting yang terlibat dalam usaha Rasulullah SAW untuk meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah.

Menurut beliau lagi, peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini juga boleh dijadikan sebagai panduan dalam usaha mencapai misi dan visi organisasi terutama di jabatan-jabatan kerajaan.

Kata beliau, Allah SWT boleh sahaja menghantar Rasulullah SAW seorang diri dalam sekelip mata ke Madinah sepertimana Allah SWT menggerakkan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitulmuqaddis, kemudian dari Baitulmuqaddis ke Sidratul Muntaha dan akhirnya kembali semula ke Makkah dalam satu malam sahaja.

Namun, menurut Ustaz Kamarudin, Rasulullah SAW memilih untuk bergerak secara normal ke Madinah bersama beberapa orang sahabat termasuk dengan bantuan seorang yang bukan beragama Islam iaitu Abdullah bin Uraiqat yang diupah Saidina Abu Bakar untuk menunjuk jalan yang tidak biasa dilalui orang ramai agar sukar dikesan musuh.

Selain Abdullah bin Uraiqat dan Saidina Abu Bakar, beliau juga menyenaraikan dua lagi watak utama dalam proses hijrah Rasulullah SAW ketika itu iaitu Asma’ Abu Bakar, seorang wanita yang membantu menghantar makanan ketika Rasulullah SAW bersembunyi di Gua Thur dan Saidina Ali yang tidur di katil Rasulullah SAW sebagai ganti baginda untuk mengelirukan Musyrikin Makkah ketika itu.

Jelas beliau, ini memberikan pengajaran bahawa untuk menjayakan sesuatu visi dan misi sesebuah negara atau organisasi itu, ia perlu bergerak secara berpasukan yang setia di samping itu juga perlu melibatkan orang bukan Islam selagi ia jujur dan tidak ekstrem kepada Islam.

“Ada pemuda iaitu Saidina Ali, ada wanita iaitu Asma’ binti Abu Bakar, ada orang dewasa seperti Abu Bakar As Siddiq dan juga orang bukan Islam seperti Abdullah bin Uraiqat. Cukup empat kelompok ini yang telah menjayakan hijrah.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di dalam program Bicara Hijrah 1442H anjuran bersama Sekolah Henry Gurney Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di hadapan pegawai-pegawai penjara, guru-guru JAIM dan para pelatih di sini petang semalam.

Dalam majlis yang sama juga seramai 10 orang pelatih Sekolah Henry Gurney telah menerima Kit Hafazan dan Tahsin Al Quran dari Kolej Al Quran Sayyidina Ali (KAQSA) yang disampaikan sendiri oleh Pengetua KAQSA, Abdullah Shahir Arifin Ahmad Fadzil di akhir program tersebut.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Pengarah Sekolah Henry Gurney, Penolong Komisioner Penjara Hairol Hisham Mohd Harith, Timbalan Pengarah Sekolah Henry Gurney, Redzwan Saghil@Yusof dan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIM, Ustaz Muhammad Adib Hatim – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -