Program Merdeka@Komuniti Kuantan pupuk patrotisme

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Usaha memupuk jiwa patrotisme terus giat dilaksanakan dalam kalangan warga penduduk sepanjang bulan Ogos dan September sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

- Advertisement -

Sehubungan itu, telah dianjurkan program Merdeka @ Komuniti Kuantan dalam mencapai tujuan tersebut yang dilangsungkan bersama warga penduduk setempat di Taman Cenderawasih, di sini kelmarin.

Inisiatif ini telah digerakkan Jabatan Penerangan Malaysia bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Bukit Setongkol serta Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Cenderawasih.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang turut menjayakan program ini menyifatkan penganjuran tahunan seperti ini amat penting dalam mengeratkan perpaduan komuniti termasuk agensi kerajaan yang memberi khidmat kepada rakyat.

Manakala Pengarah Penerangan Negeri Pahang, Mohd Salmun Mustafa menyeru program seperti ini dimeriahkan dalam membentuk jiwa dan roh yang cinta dan sayangkan negara serta pemimpinnya.

Beliau juga menggambarkan antara ciri warganegara itu mempunyai patriotisme adalah apabila dia tidak dapat menerima tindakan pihak yang melakukan penghinaan terhadap simbol-simbol negara seperti bendera, jata dan lain-lain.

Turut diadakan sempena program ini adalah pameran dari Jabatan Perangkaan, Jabatan Komunikasi dan Multimedia, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Biro Bantuan Guaman dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Manakala hubungan warga penduduk dieratkan menerusi pelbagai acara seperti pertandingan teh tarik, gubahan tuala dari wanita, pertandingan basikal lambat dan mewarna kanak-kanak, selain terdapat Mini Zoo. – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -