Serah khairat kematian waris murid PASTI

PENGERANG: PAS Kawasan Pengerang telah berkunjung menziarahi keluarga murid PASTI Al-Farabi 2, Nor Sofia Insyirah Jamil yang kematian ibu di kediaman mereka di Taman Desaru Utama, di sini hari ini.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Pengerang, Rashid Sihap hadir sebagai wakil menyampaikan sumbangan khairat kematian sebanyak RM500 daripada PASTI Malaysia itu yang disalurkan melalui pihak PASTI Negeri Johor.

Wang tersebut diserahkan kepada bapa Nor Sofia, Jamil Langit yang disifatkan Rashid sebagai menjalankan tanggungjawab mukmin ke atas hak saudaranya dan menepati janji telah sedia termaktub, selain menyampaikan takziah.

Isteri Jamil, Suraya Abdullah telah menghembuskan nafas terakhirnya kembali ke rahmatullah kelmarin berikutan mengalami sesak nafas dan asma yang telah lama dihidapinya.

Nor Sofia yang masih bersedih atas pemergian ibu tercinta itu namun tetap bersemangat untuk terus belajar dan mencapai cita-cita pernah dijanjikannya kepada arwah.

Turut hadir adalah Ketua Penerangan PAS Pengerang, Selamat Ujud dan Pengerusi PASTI Pengerang, Abd Muhaimin Azman serta Pengerusi NGO Khidmat, Mohd Malkan Omar Ali. – HARAKAHDAILY 21/9/2020