Kebakaran berlaku ketika pelajar solat Jumaat

- Advertisement -

KUBANG PASU: Kebakaran di Mahaad Tahfiz Al-Quran, Lorong Alif, Jitra Jumaat lepas berlaku ketika pelajar mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Aqla, manakala enam lagi berada di tempat kejadian.

Mudir pusat pengajian terbabit Ustaz Amar Ma’ruf Al-Hafiz Ahmad berkata, enam pelajar terbabit di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan ke masjid atas arahan SOP Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, bangunan yang terbakar digunakan untuk menyimpan peralatan pelajar dan sebagai tempat berehat bagi pelajar yang tidak sihat.

“Enam pelajar selamat dalam kebakaran membabitkan tingkat atas sebuah blok bangunan dua tingkat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun kata beliau seorang pelajar cedera di tangan akibat terkena serpihan kaca ketika memecahkan penutup kaca penggera keselamatan.

Menurutnya juga punca kebakaran masih dalam siasatan, namun disyaki kemungkinan berpunca litar pintas.

Amar Ma’ruf juga berkata, Darul Ulum Ar-Rahimiyah Tahfizul Quran beroperasi sejak 30 tahun lalu pernah mempunyai seramai 160 pelajar termasuk dari luar negara.

Bagaimanapun katanya jumlah pelajar sekarang hanya tinggal 60 orang memandangkan pelajar luar negara belum dibenarkan menyambung pengajian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu beliau berharap sumbangan orang ramai bagi membangunkan semula sekolah tersebut.

Sumbangan boleh disalur melalui akaun Bank Islam 02039010054855 atas nama Darul Ulum Rahimiyah.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor turut melawat sekolah berkenaan petang semalam. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -