Penyakit kuning bukan demam kuning

- Advertisement -

BAYI Jaundis (Neonatal Jaundice) atau penyakit kuning itu bukannya demam kuning. Selalu orang bertukar dua nama penyakit ini. Dua istilah yang hampir sama tetapi sedikit berbeza. Bayi Jaundis merujuk kepada badan bayi yang bertukar kuning akibat dari kandungan bilirubin yang tinggi. Budak itu tidak demam. 

Bilirubin adalah terhasil setelah penguraian sel darah merah. Apabila cukup umur, sel darah merah akan terurai dan akan diganti dengan sel-sel baru. Biasanya sel darah merah yang berasal dari ibu akan terurai, kemudian bayi akan membina sel darah sendiri sebaik sahaja lahir di atas muka bumi.

Bilirubin tadi akan dibuang melalui buah pinggang. Bagi bayi yang masih di usia beberapa hari, sel darah merah akan mudah terurai. Jika bilirubin tinggi, kadar perkumuhan melalui buah pinggang adalah terhad. Oleh itu ianya akan timbul di kulit. Sebab itu bayi jadi kuning. Bayi yang berkulit gelap agak sukar untuk dikenal pasti. Ujian darah wajib diambil.

- Advertisement -

Kita akan tanya beberapa perkara yang biasanya disabitkan dengan Bayi Jaundis teruk.

Si ibu amal Makjun tak?

Si ibu makan jamu tak?

Si ibu kerap beri susu kepada bayi tak?

Makjun dan jamu adalah antara penyebab yang boleh dielakkan. Jangan mudah terpengaruh dengan juru jual yang memberi jaminan bagai seolah-olah makjun atau jamu mereka sudah pun lulus ujian tahap selamat digunakan terhadap bayi dan ibu. 

Bayi wajib diberi susu dengan secukupnya. Gagal memberikan susu ibu bermakna darah bayi semakin pekat kerana berlaku dehidrasi badan. Dehidrasi ini memburukkan lagi paras Jaundis dalam badan. 

Jika tidak diuruskan dengan baik, paras Jaundis akan meningkat tinggi sehingga menyerang otak. Oleh itu kita amat risau jika berlaku tanda-tanda berikut:

(1) Kulit bayi semakin jelas kuning.

(2) Parasnya melepasi pusat dan ke bawah (kaki).

(3) Warna mata putih bayi nampak kuning semakin jelas.

(4) Berat bayi tidak bertambah sedikit pun.

(5) Bayi resah gelisah dan merengek menangis pada kebanyakan waktu.

(6) Sawan. Sawan adalah peringkat yang paling membimbangkan kerana Jaundis sudah mencecah masuk ke otak.

Justeru pada ibu bapa atau penjaga, jangan terikut atau terpengaruh dengan petua yang tidak tahu hujung pangkal asas sains. Pengurusan Bayi Jaundis ini senang sahaja dengan syarat dapatkan nasihat dan pengawasan dari pakar di hospital. Jangan menyusahkan kerja mereka.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -