Pengiktirafan anak muda

MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Malaysia pada tahun 2020 ini memberi saya satu gambaran baru dalam lembaran perjuangan ini. Di samping segala perbahasan untuk koreksi jamaah ini. Muktamar kali ini berjaya mengangkat dua ikon belia yang bagi saya keberadaan mereka memberi kesan besar dalam arena sukan dan industri hiburan tanah air.

Anugerah Khas yang diberikan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah merupakan satu manifestasi penghargaan kepada ikon-ikon anak muda yang berjaya menempa nama dalam bidang masing-masing. Selain itu, anugerah ini juga bertujuan untuk merapatkan ikon anak muda ini kepada PAS yang sentiasa meraikan bakat anak muda.

Dalam proses pemilihan kategori pemenang pula, Pemuda PAS amat menitik beratkan mereka yang bukan sahaja berjaya dalam bidang yang diceburi tetapi mereka yang mempunyai wawasan tinggi dalam memberi manfaat kepada masyarakat.

Advertisement

Mr Kokom merupakan ikon anak muda yang aktif menghasilkan video pendek yang tular dan menjadi trending di media sosial. Secara peribadi saya melihat persembahan yang dibawa oleh Mr Kokom sarat dengan mesej dakwah dan memberi kesedaran dalam membina masyarakat Malaysia yang harmoni. Selain itu juga dalam makluman saya Mr Kokom dan pasukannya juga banyak menghasilkan video-video ceramah pendek yang mudah untuk diikuti anak muda, mereka menjadi tulang belakang penghasilan video tokoh-tokoh ilmuan dan agamawan tanah air. 

Anugerah khas turut diberi kepada Luqman Hakim, seorang pemain bola sepak yang sedang menempa nama di persada antarabangsa. Pada usia yang amat muda, Luqman Hakim kini terpilih untuk mewakili kelab KV Kortrijk (KVK) iaitu kelab divisyen pertama Liga Belgium. Ketika saya bertemu dengan ibu ayah Luqman baru-baru ini saya bertanya kepada mereka apa rahsia kekuatan Luqman, kemudian ayah Luqman menyatakan antara motivasi utama Luqman Hakim adalah beliau sentiasa berusaha bersungguh-sungguh di medan ini kerana ingin mengubah nasib keluarganya dan membahagiakan ibu ayahnya. Sungguh mulia hasrat murni itu semoga dipermudahkan segala urusannya. 

Walaupun ramai yang melihat PAS hanya satu wadah politik, namun begitu PAS sentiasa memandang serius dalam membawa Malaysia ke hadapan dalam semua bidang termasuk bidang sukan dan hiburan tanah air. 

Tahniah kepada Mr Kokom dan Luqman Hakim atas anugerah ini, semoga ramai lagi anak muda terus berjaya dalam bidang yang diceburi kami sentiasa menghargai potensi anda semua.

HAFEZ SABRI
Pengarah DACS Malaysia – HARAKAHDAILY 21/9/2020