200 menara telekomunikasi akan dibina di Kedah

- Advertisement -

JITRA: Sebanyak 200 menara telekomunikasi baharu akan dibina di Kedah bagi meningkatkan keupayaan sistem telekomunikasi di negeri itu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri akan cuba memohon kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi berkenaan memandangkan pada masa ini capaian internet yang stabil sangat penting.

“Saya telah mengadakan perjumpaan dengan pihak MCMC dan dimaklumkan mereka ada dana untuk membina menara itu,” katanya semasa ditanya mengenai capaian internet yang didakwa sangat lemah di beberapa kawasan seperti di Bukit Selambau, Sik, Baling dan Padang Terap.

- Advertisement -

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan meninjau keadaan Pusat Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah Tahfizul Quran di sini yang mengalami kerosakan kecil pada struktur bangunannya akibat kebakaran Jumaat lepas.

Mengenai arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar bermula 11 September lepas dan berakhir 25 September ini, beliau berharap arahan itu tidak akan disambung memandangkan banyak pihak terjejas apabila perintah itu dilaksanakan. 

Bagaimanapun beliau berkata keputusannya bergantung kepada nasihat Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri dan setakat ini masih belum ada perbincangan berhubung perkara itu. – BERNAMA

- Advertisement -