KKM buat ujian kemurungan ‘frontliners’

BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan Tekanan, Kebimbangan Melampau dan Kemurungan (DASS) terhadap petugas barisan hadapan yang terlibat dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata selain kakitangan kementerian, DASS turut melibatkan pelbagai pihak berkaitan antaranya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan mengetahui tahap tekanan serta kebimbangan mereka. 

“Selain itu ujian juga dibuat ke atas petugas yang mempunyai keluarga positif jangkitan wabak itu. 

Advertisement

“DASS mempunyai 22 soalan perlu dijawab bagi mengetahui tahap kemurungan dan mereka yang mempunyai kemurungan serius akan dirujuk kepada pakar-pakar perubatan,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup program ‘Ride Merdeka’ dan Hari Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan 2019 mendapati 2.3 peratus atau 500,000 rakyat negara ini mengalami kemurungan dengan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi iaitu 5.4 peratus. 

Selain itu, Dr Noor Azmi berkata KKM meminta rakyat yang menghadapi kemurungan supaya mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di semua negeri.

Beliau berkata kerajaan juga giat menambah pakar psikiatri dan psikososial dalam merawat masalah kemurungan lebih-lebih lagi dengan penularan COVID-19 yang memberi kesan negatif kepada rakyat seperti kehilangan pekerjaan, pendapatan, perselisihan dalam keluarga dan penderaan. BERNAMA